Portal berita terbaik anda

Utama

3,000 guru Kafa diserap jawatan tetap tahun depan

PARIT BUNTAR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) merancang menyerap sekurang-kurangnya 1,000 hingga 3,000 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) ke jawatan tetap sebagai langkah permulaan ke arah membela kebajikan golongan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri(Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, rancangan itu dirangka sebagai fasa permulaan memperkasa kebajikan guru-guru Kafa pada tahun hadapan susulan peningkatan agihan belanjawan negara 2019 untuk hal ehwal negara Islam oleh kerajaan PH.

Menurutnya, pada masa ini terdapat 31,460 guru Kafa dengan seramai 973,555 murid sedang mengikuti program itu serta 5,609 premis Kafa di seluruh negara.

“Dengan jumlah bilangan guru Kafa di seluruh negara begitu banyak, kita tidak mampu untuk menyerap kesemua mereka ke jawatan tetap dalam satu masa.

“Jadi langkah permulaan untuk menyerap mereka dengan jumlah kecil adalah melalui proses saringan terhadap kelayakan, tahap pendidikan dan pencapaian mereka sepanjang tempoh perkhidmatan.

“Proses saringan ini akan dilaksanakan sendiri Jakim dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam(JPA) dan kita berharap sekurang-kurangnya 1,000 hingga 3,000 guru Kafa akan beroleh manfaat pada fasa permulaan,”katanya kepada media selepas menyempurnakan perasmian Karnival Sinar Harapan ‘Inspirasiku Teristimewa’ di Dataran Pinggiran Sungai Kerian, di sini hari ini.

Turut hadir Exco Kerajaan Negeri, Abdul Yunus Jamhari, Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri dan Orang Besar Jajahan Kerian, Datuk Khairuddin Arshad.

Mengulas mengenai Belanjawan Negara 2019 dibentangkan semalam, Mujahid menyifatkan peningkatan jumlah peruntukan sebanyak RM1.2 bilion diberikan untuk hal ehwal agama Islam berbanding RM1.1 bilion pada tahun lalu membuktikan kerajaan PH tidak pernah mengenepikan kepentingan agama Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

Menurutnya, keprihatinan kerajaan PH terhadap hal ehwal agama Islam di negara ini dibuktikan lagi dengan penyediaan peruntukan RM150 juta bagi pelbagai program termasuk pembinaan masjid dan surau, inisiatif Khairah Ummah untuk melahirkan profesional dalam kalangan huffaz dan modul pembelajaran agama menggunakan brile.

“Untuk sekolah-sekolah tahfiz dan pondok pula, sejumlah RM75 juta diberikan melalui Kementerian Pendidikan iaitu sekolah tahfiz sebanyak RM50 juta dan sekolah pondok berdaftar RM25 juta.

“Inisiatif ini juga membuktikan kerajaan PH tidak mengabaikan kebajikan sekolah tahfiz dan sekolah pondok berdaftar sebagaimana didakwa segelintir pihak,”katanya.

Bagi aspek keseluruhan Belanjawan Negara 2019, Mujahid menganggap belanjawan tersebut membantu golongan pendapatan rendah B40 memperolehi pendapatan boleh guna tambahan sekaligus menggalakkan perkembangan ekonomi domestik.

“Saya rasa bersyukur kerajaan PH masih mampu menawarkan pakej belanjawan yang mampan dan membela nasib golongan B40 meskipun kita mewarisi kerajaan yang menanggung hutang RM1.065 trilion daripada kerajaan terdahulu,” katanya.

Loading...

Leave a Reply