Portal berita terbaik anda

Utama

274 pelajar tahfiz bebas Covid-19 dihantar pulang

KUALA TERENGGANU – Seramai 274 pelajar Madrasatul Quran, Kubang Bujuk, di sini disahkan bebas koronavirus (Covid-19) dihantar pulang ke rumah masing-masing selepas tamat tempoh kuarantin selama dua minggu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alur Limbat, Ariffin Deraman berkata, kesemua mereka yang berada di luar Terengganu dihantar pulang menaiki kenderaan jabatan kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri menyediakan beberapa buah bas termasuk van bagi menghantar pelajar-pelajar yang berada di luar Terengganu untuk pulang ke rumah masing-masing.

“Manakala bagi pelajar yang dari daerah Kuala Terengganu, kita jemput ibu bapa mereka untuk datang ke madrasah untuk mengambil anak mereka,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, terdapat beberapa lagi pelajar yang masih menunggu surat pengesahan daripada pihak kesihatan untuk membolehkan mereka pulang ke rumah masing-masing.


Katanya, berdasarkan jadual asal pembelajaran, kesemua pelajar dijadualkan bercuti selama dua bulan sehingga Aidilfitri, namun ia bergantung kepada situasi semasa negara.

“Kalau ikutkan, pelajar ini dalam tempoh bercuti sebab itulah mereka semua dihantar pulang ke rumah masing-masing selepas tamat tempoh kuarantin di sini.

“Kesemua mereka ini adalah yang bebas saringan dan telah melalui proses kuarantin Covid-19.

“Dalam tempoh kuarantin itu, ada juga yang mengalami selesema, demam dan sakit tekak. Kesemua mereka yang mengalami simptom itu dihantar ke Hospital Hulu Terengganu,” katanya.

Terdahulu, madrasah itu terpaksa ditutup setelah dipercayai menjadi lokasi persinggahan pesakit positif wabak koronavirus (Covid-19) pada 14 Mac lalu.

Pada peringkat awal, seramai 87 penghuni pusat pengajian itu telah dikuarantin sebagai pesakit di bawah siasatan (PUI) bagi jangkitan Covid-19.

Loading...

Leave a Reply