25 dikompaun RM1,000 melepak di taman

KOTA TINGGI – Seramai 25 individu dikompaun RM1,000 seorang kerana didapati berkumpul dan gagal mengamalkan penjarakan sosial di Taman Tasik, Taman Sri Saujana, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, berkata hasil pemantauan mendapati dua kumpulan remaja berusia 16 hingga 20 tahun itu sedang melepak di kawasan taman tasik tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, dalam pemantauan itu juga polis turut mengeluarkan lapan saman atas pelbagai kesalahan trafik seperti modifikasi kenderaan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Selain kumpulan remaja itu, tiga lelaki turut dikompaun kerana duduk semeja di sebuah restoran di Taman Laksamana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hussin berkata, anggota polis akan terus melakukan pemantauan secara berterusan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meliputi seluruh daerah Kota Tinggi di sini.

“Orang ramai diingatkan mematuhi SOP sepanjang tempoh PKP walaupun di kawasan bandar, FELDA atau kampung.

“Tempoh memberi nasihat sudah tamat dan kini tiba masanya untuk tindakan sepatutnya diambil terhadap mana-mana individu yang ingkar dengan mematuhi SOP,” katanya.

Loading...

Leave a Reply