201 pesakit Covid-19 sembuh dan dibenarkan discaj hari ini

PUTRAJAYA – Jumlah pesakit COVID-19 yang sembuh dan dibenarkan pulang hari ini adalah sebanyak tiga kali ganda lebih tinggi berbanding kes positif baharu iaitu 201 berbanding 69.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah kumulatif kes yang sudah pulih dan dibenarkan pulang kini sebanyak 2,967 atau 56.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Bagi kes baharu pula sebanyak 69 kes dilaporkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,251 kes. Daripada jumlah berkenaan seramai 51 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 26 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan dua lagi kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 86 kes.

“Kes kematian ke-85 (kes ke-5064) adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 85 tahun. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19, iaitu kes ke 4,657 berkaitan dengan kluster individu dalam siasatan (PUI) Bali.

“Beliau dirawat untuk penyakit barah darah di sebuah pusat perubatan swasta dan kemudiannya dipindah ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang pada 15 April 2020 dan disahkan meninggal dunia sehari kemudian pada jam 3.30 petang.

“Kes kematian ke-86 pula (kes ke-5183) ialah lelaki warganegara Malaysia berumur 85 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan strok.

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19, iaitu kes ke 2,321. Beliau dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 1 April 2020 dan disahkan meninggal dunia semalam pada jam 8.56 malam,” katanya dalam sidang media harian COVID-19, hari ini.

Loading...

Leave a Reply