Portal berita terbaik anda

Utama

1MDB: Najib mengaku tak bersalah, mohon dibicarakan

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa atas 21 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.

Pada masa sama, beliau turut dituduh melakukan empat kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Najib bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kesemua 25 pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi.

Najib ditahan SPRM pada jam 4.13 petang semalam atas kes 1MDB yang melibatkan kemasukan RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya.
Dia sebelum ini didakwa dengan tujuh pertuduhan jenayah pada bulan Julai dan Ogos lepas.

Pada 4 Julai, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dan pada 8 Ogos beliau juga tidak mengaku salah atas pertuduhan menerima wang yang sama (RM42 juta) hasil daripada aktiviti haram ke dalam dua akaun miliknya.

Dia dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin sementara menunggu sebutan semula kes dan kesemua tujuh pertuduhan untuk dibicarakan bersama kerana ia melibatkan saksi dan dokumen yang sama.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan pada 4 Oktober sebelum Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Pihak pembelaan yang mewakili Najib termasuk Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Harvinderjit Singh, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, Farhan Read, Rahmat Hazlan, Hamidi Mohd Noh, Sarah Abishegam
dan Wan Aizuddin.

Pihak pendakwaan diwakili oleh Datuk Seri Gopal Sri Ram, Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustafa P Kunyalam, Nadia Mohd Izhar dan Aaron Abhilash Paul Chelliah.

Loading...

Leave a Reply