Portal berita terbaik anda

Politik

‘Zahid ibarat ayah, kami tak tergamak hentak emosinya’ – Puteri Umno

Pergerakan Puteri Umno tidak tergamak untuk “menghentak” dan menambah beban emosi presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dianggap mereka seperti ayah.

Kenyataan itu dibuat ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan selepas Pemuda Umno sebelum ini mencadangkan Ahmad Zahid bercuti bagi memberi tumpuan kepada kesnya di mahkamah.

Sebaliknya, Zahida berkata Puteri Umno akan terus bersolidariti, mendoakan dan memberi sokongan moral kepada Ahmad Zahid dalam menghadapi proses undang-undang.

“Kami (Puteri Umno) umpama anak yang tidak tergamak untuk ‘menghentak’ dan menambah beban emosi kepada ayah yang sedang berhadapan dengan masalah ketika menguruskan keluarga besar Umno itu.

“Beliau mempunyai hak untuk mendapatkan keadilan sebaik mungkin berdasarkan prinsip ‘tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah’ dan tidak sepatutnya kita bersikap prejudis dengan membuat perbicaraan di media.

“Seperti semua maklum parti kita sedang ditekan kuat oleh pihak kerajaan, seorang demi seorang pemimpin kita didakwa, kemungkinan ramai lagi akan dikenakan tindakan bermotifkan politik dan pendakwaan terpilih yang mereka amalkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dalam mesyuarat pemuda Umno semalam, berkata Ahmad Zahid wajar bercuti daripada menjalankan tugas-tugas presiden parti agar dapat memberi tumpuan kepada kesnya di mahkamah.

Susulan itu, Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam pula tampil mengecam kenyataan Asyraf dan menuntut ketua Pemuda Umno itu meletakkan jawatan.

Zahida bagaimanapun tidak menyentuh secara langsung berhubung gesaan Pemuda Umno itu.

“Sebagai ketua Pergerakan Puteri Umno saya sudah pun punya pendirian tersendiri dalam isu berkenaan kedudukan presiden sebelum ia menjadi topik hangat di media lagi.

“Puteri mengutamakan kematangan bertindak dan akan sentiasa berbincang secara keluarga bersama Jawatankuasa Pengurusan, Biro Politik dan Majlis Tertinggi yang mana Puteri adalah anggotanya.

“Puteri memahami cabaran bakal dihadapi oleh sesiapa sahaja yang menjadi Ketua Pembangkang, jadi kami percaya presiden Umno mempunyai kebijaksanaan dalam menentukan pendiriannya dan Puteri juga berpendapat proses undang-undang yang sedang berjalan adalah peluang terbaik untuk Presiden Umno membersihkan nama beliau,” katanya.

Loading...

Leave a Reply