Portal berita terbaik anda

Utama

‘You perah sendiri ke susu tu’ – Anggota polis didakwa keluarkan perkataan tidak sopan ketika SJR disiasat

KUALA LUMPUR – Polis Daerah Putrajaya membuka kertas siasatan berhubung dakwaan seorang wanita yang menyatakan berlaku gangguan seksual melalui perkataan tidak sopan oleh seorang pegawai polis ketika melalui sekatan jalan raya di Putrajaya, semalam.

Terdahulu, pegawai polis yang dikaitkan dakwaan itu membuat laporan pada jam 1.35 tengah hari semalam, selepas wanita itu memuat naik satu hantaran di Twitter yang mendakwa berlakunya gangguan seksual ketika melalui sekatan jalan itu jam 9 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali, berkata wanita 28 tahun itu yang juga pemilik akaun Twitter berkenaan kemudian tampil membuat laporan polis pada jam 6 petang.

“Menurut wanita itu, apabila dia memaklumkan kepada polis sedang dalam perjalanan untuk urusan perniagaan produk susu, dia disoal dengan ayat “You perah sendiri ke susu tu?” yang menyebabkannya rasa tidak selesa dan tidak berpuas hati sehingga memuatnaik hantaran di Twitter.

“Bagaimanapun siasatan awal yang dijalankan terhadap pegawai polis terbabit menafikan dia telah mengeluarkan perkataan yang tidak sopan semasa menyoal wanita itu sebaliknya bertanyakan produk susu tersebut dengan ayat “You buat sendiri ke susu tu?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Fadzil berkata, petugas lain di sekatan jalan termasuk pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berada di lokasi kejadian juga turut disiasat dan menafikan berlakunya gangguan seksual sebagaimana dakwaan wanita terbabit.

“Sehubungan itu pihak polis telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan yang dibuat oleh kedua-dua pihak. Bagaimanapun siasatan akan diteruskan setelah mendapat Perintah Penyiasat (O.T.I) daripada Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara, sebagaimana peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 108(2) Kanun Prosedur Jenayah.

“Ingin saya tegaskan bahawa polis akan menjalankan siasatan yang telus tanpa sebarang kompromi dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis,” katanya.

Loading...

Leave a Reply