‘Ya Allah, isteri ku…’

0
2453

CHUKAI: “Mana isteri saya, macam mana ini boleh berlaku?” soal Mohd Fakrul Razi Awang Salleh, 25, kepada anggota Bomba ketika mereka berusaha mengeluarkan dia yang tersepit di tempat pemandu.

Mohd Fakrul ketika itu masih belum menyedari isterinya, Rohana Zaini, 37, telah meninggal dunia selepas tercampak keluar dari kenderaan yang dinaikinya itu terbabas di Kilometer 324.7, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat Kerteh, kira-kira jam 7 pagi tadi.

Dia hanya menyedari isterinya sudah meninggal dunia apabila melihat sekujur tubuh terlantar di atas jalan ketika kakitangan perubatan mengusungnya ke ambulans.

“Berhenti sekejap! Ya Allah, isteriku! Saya nak lihat jenazah isteri…,” katanya kepada kakitangan perubatan.

Kereta Proton Wira yang dipandu Mohd Fakrul terbabas dan merempuh besi penghadang jalan di sebelah kiri lebuh raya itu lalu sebelum berpusing, menyebabkan isterinya tercampak keluar.

“Saya dalam perjalanan dari kampung saya di Kuala Nerus untuk balik ke kampung isteri di Teluk Gong Klang, Selangor.

“Saya tak tahu, sebaik sedar saya dapati kami terbabit kemalangan dan saya dapati isteri saya tiada di dalam kereta dan rupanya dia tercampak keluar,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Said Ibrahim, berkata Mohd Fakrul Razi yang cedera di kepala dan kaki kemudiannya dibawa ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

Katanya, isteri mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman.

“Kita percaya ketika kejadian, mangsa duduk di bahagian belakang tempat duduk sebelum tercampak keluar kira-kira 10 meter ke tengah lebuh raya.

“Kejadian itu disiasat di bawah seksyen 41 ( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan ( APJ ) 1987,” katanya.

Sumber: berita harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here