Waytha Moorthy, Maszlee sudah buat yang terbaik – Tun M

0
191

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau percaya dua menteri kabinet, P Waytha Moorthy dan Maszlee Malik sudah melakukan yang terbaik dalam menggalas tugas mereka.

“Ya (saya berpuas hati), mereka lakukan yang terbaik,” katanya ketika ditanya media selepas menerima anugerah pencapaian seumur hidup dari Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di Kuala Lumpur malam ini.

Waytha Moorthy dipilih sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi perpaduan negara dan kesejahteraan sosial manakala Maszlee dilantik sebagai Menteri Pendidikan selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum lalu.

Penasihat media Mahathir, A Kadir Jasin baru-baru ini mendakwa dalam blognya bahawa perdana menteri ada “memberi kuliah’ kepada kedua-dua menteri itu secara khusus.

Ditanya mengenai perkara itu, Mahathir berkata beliau hanya bercakap dengan mereka.

“Saya bercakap dengan mereka. Tak ada kuliah, cakap saja,” katanya.

Sebelum ini, Waythamoorthy digesa meletakkan jawatan selepas memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan berhasrat meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada tahun 2019.

Pengumuman itu menyebabkan bantahan keras di kalangan masyarakat Melayu Islam. Pejabat Mahathir kemudian mengumumkan rancangan tersebut dibatalkan.

Gesakan agar Waytha Moorthy berundur semakin kuat selepas pemimpin Hindraf itu menegur cara polis mengendalikan rusuhan di kuil hindu Sri Maha Mariamman di Seafield, Subang.

Maszlee pula dikritik kerana cadangannya baru-baru ini untuk melaksanakan dasar pemakaian kasut hitam dan mewajibkan pelajar mempelajari renang di sekolah.

Malah Maszlee juga mencadangkan hotel yang mempunyai kolam renang membantu pihak sekolah menyediakan aktiviti renang kepada para pelajar.

‘Perubatan percuma bankrapkan negara’

Semasa ucapannya di majlis makan malam MMA malam tadi, Mahathir berkata kos perubatan yang tinggi akan memberikan beban yang besar kepada kerajaan persekutuan.

“Jika kerajaan memberi ubat percuma, kita akan bankrap tidak lama lagi,” katanya sambil menambah penjagaan kesihatan kini melibatkan banyak cabang perubatan dan pembedahan yang mahal.

Terdahulu presiden persatuan itu, Dr Mohamed Namazie Ibrahim menggesa kerajaan memperbaharui sistem pembiayaan penjagaan kesihatan untuk menjadikannya lebih mampan, dan mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mencorakkan masa depan sektor itu.

Ditanya selepas itu, Mahathir berkata kerajaan sudah membekalkan ubat percuma dan subsidi kepada rakyat.

“Kita sudah memberi banyak ubat percuma, kami juga beri ubat bersubsidi.

“Kita mempunyai program khas untuk kesihatan awam,” katanya yang merupakan seorang doktor perubatan sebelum menceburi bidang politik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here