Portal berita terbaik anda

Utama

Warga emas menang RM1 juta Cabutan Istimewa BSN SSP

KUALA LUMPUR – Seorang warga emas berumur 81 tahun berjaya membawa pulang ganjaran RM1 juta menerusi Cabutan Istimewa Bank Simpanan Nasional (BSN) Sijil Simpanan Premium (SSP) bagi Februari 2021.

Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil, berkata ia merupakan kali kedua bapa kepada sembilan anak itu membawa pulang hadiah daripada cabutan SSP.

Sebelum ini, beliau berkata, lelaki itu pernah membawa pulang hadiah pertama berupa sebuah kereta BMW 318i melalui cabutan bulanan pada Mei 2018.

“Hingga hari ini, beliau masih setia menyimpan dengan BSN SSP walaupun telah memenangi ganjaran menarik, termasuk cabutan istimewa BSN SSP RM1 juta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sebagai bank komuniti, BSN akan terus mendukung mandat kerajaan untuk menggalakkan budaya menabung dalam kalangan rakyat Malaysia.

Selain berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik, orang ramai dapat menikmati kadar keuntungan hingga 1.9 peratus setahun dengan menyimpan dalam BSN SSP Edisi Khas yang mana ia sama dengan kadar tetap di bank lain.

Buat kali pertama pada tahun ini, BSN turut mengumumkan 13 pemenang bagi Cabutan Tempatan yang membawa pulang sebuah kereta Perodua Myvi 1.5 Auto.

Cabutan itu diadakan pada Februari, Mei dan Ogos 2021 serta terbuka kepada penyimpan yang mempunyai BSN SSP dengan simpanan minimum RM100. – BERNAMA

Loading...

Leave a Reply