Wanita sarat mengandung kritikal ambulans dilanggar

132

IBU yang sarat mengandung berada dalam keadaan kritikal selepas ambulans dinaikinya terbalik dalam nahas dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) di persimpangan lampu isyarat, di Jalan Green, Kuching, hari ini.

Dalam kejadian pada 9.40 pagi, wanita berusia 40-an itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak (HUS), Kuching kerana mengalami trauma di kepala akibat impak pelanggaran berkenaan.

Sumber di HUS berkata, wanita berkenaan dibawa dari Sungai Maong, Batu Kawa, selepas mengadu sakit untuk melahirkan bayi selain mengalami tekanan darah tinggi.

“Kita meletakkan pesakit itu di ICU bagi memantau situasi dari semasa ke semasa terutama membabitkan bayi dalam kandungan. Pesakit juga mengalami kecederaan di kepala dan kita sedang memantau dengan rapi keadaannya,” katanya kepada NSTP, di sini, hari ini.

Sementara itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ketika kemalangan berlaku mendapati SUV terbabit enggan memberi laluan kepada ambulans yang sudah memasang siren kecemasan untuk membawa wanita mengandung berkenaan ke HUS.

Pemandu lelaki itu didapati memandu laju tanpa mempedulikan bunyi siren kecemasan ambulans terbabit, lalu melanggar bahagian belakang kenderaan berkenaan yang dilihat cuba mengelak.

Sementara itu, pemandu ambulans berusia 40-an yang enggan dikenali berkata, ambulans dipandunya baharu sahaja melepasi Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce dengan siren kecemasan sudah dipasang.

“Kereta dipandu warga emas itu melanggar ambulans menyebabkan kenderaan gagal dikawal, lalu melanggar pembahagi jalan berdekatan lampu isyarat. Kesan akibat pelanggaran itu menyebabkan remuk di bahagian pemandu termasuk cermin pecah.

“Dua jururawat cedera, namun trauma kerana kejadian berlaku cukup pantas. Saya juga terkejut kerana kali pertama mengalami kemalangan,” katanya kepada NSTP, di sini hari ini.

Pemandu ambulans itu turut cedera di tangan kanan kerana terkena serpihan kaca.

“Jika tidak kerana tali pinggang keselamatan, mungkin kecederaan yang saya alami lebih parah kerana kesan daripada pelanggaran itu,” katanya.

Difahamkan, pemandu warga emas itu cuba mengejar lampu isyarat hijau dengan kelajuan kira-kira 50 hingga 60 kilometer sejam, namun gagal melepasi ambulans terbabit walaupun sedar bunyi siren kecemasan semakin dekat.

Sejurus pelanggaran berlaku, lelaki warga emas itu keluar sambil tidak henti-henti memohon maaf kerana mengakui kecuaiannya ketika memandu.

“Dia keluar dan minta maaf kerana bersalah. Selepas itu, saya dimaklumkan dia membuat laporan di Balai Polis Simpang Tiga,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here