Portal berita terbaik anda

Utama

Wanita buat aksi ‘wheelie’ ditahan polis

BATU PAHAT – Tindakan seorang wanita menunjukkan aksi ‘wheelie’ sebuah motosikal dengan dibonceng seorang lelaki hingga menjadi tular dalam media sosial membawa padah apabila ditahan polis pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, wanita berusia 21 tahun tersebut dan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan di rumah masing-masing di Jalan Pantai di sini.

“Sebuah motosikal juga disita. Tangkapan dibuat selepas Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat mengesan satu video memaparkan aksi itu dalam laman sosial pada jam 2.30 petang semalam (Jumaat).

“Siasatan mendapati aksi ‘wheelie’ yang berdurasi selama 31 saat berlaku pada 4.45 petang, 10 Mei lalu di Jalan Dato’ Syed Esa di sini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Sabtu.

Katanya, kedua-dua tangkapan tersebut kemudian dibebaskan dengan ikat jamin.

Jelasnya, siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 2020).

Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan denda RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun.

Pihak polis katanya, menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak melakukaj aksi-aksi yang boleh membahayakan nyawa sendiri atau orang lain, ibu bapa juga perlu memantau anak-anak mereka.

Loading...

1 Comment

  1. zainab abdul manap

    Uishh..
    Bravo .
    Sgguh cemerlang adegan yg di tampilkan.
    Kagum cik nab melihat.

    ini baru motor. Dia dh handal sgt wat aksi cmtu.
    Cuba kasi dia bawak traktor pulak. Nk tgk dia mampu x wat aksi sama.

Leave a Reply