Wang simpanan hangus, tujuh sekeluarga tinggal sehelai sepinggang

SETIU – Tujuh sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas dua kediaman musnah dalam kebakaran di Kampung Tayor Tengah, dekat Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Nenas, Sungai Tong, di sini, petang ini.

Kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu menyebabkan Zaleha Abdullah, 56, yang tinggal bersama anak lelakinya, Azni Ismail, 43, serta kediaman bersebelahan yang didiami anak perempuannya, Suhaila bersama empat lagi ahli keluarga, musnah sama sekali.

Anak Zaleha, Azli, 42, berkata ketika kejadian, ibunya keluar ke kebun di kawasan berhampiran, manakala abangnya, Azni, keluar bekerja.

“Ketika kejadian keluarga adik perempuan yang tinggal di rumah bersebelahan tiada di rumah kerana pulang ke rumah mentuanya di Kelantan.

“Kejadian turut menyebabkan wang simpanan mak daripada hasil kebun yang dikumpul dan barangan kemas yang disimpan musnah dijilat api.

“Bagaimanapun kami tetap bersyukur kejadian tidak mengakibatkan kemalangan jiwa. Walaupun sedih dengan apa yang berlaku, kami reda,” katanya yang tinggal di Kampung Bukit terletak bersebelahan.

Azli berkata, beliau mengetahui mengenai kejadian ketika dalam perjalanan untuk mengambil anaknya di sekolah berhampiran.

“Ketika dalam perjalanan menjemput anak di sekolah, saya terserempak dengan jiran mak dan dia memaklumkan rumah mak terbakar.

“Saya bergegas ke sana dan sedih melihat sebahagian besar rumah sudah musnah dijilat api. Api cepat marak kerana cuaca panas dan kering dan saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa.

“Kasihan melihat mak yang sedih lihat barangan kemas dan wang simpanannya lenyap sekelip mata,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Nasir Jaafar, berkata kejadian turut menyebabkan sebuah lagi kediaman milik besan Zaleha terbakar lima peratus dan tindakan pantas bomba berjaya mengawal api daripada merebak.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5 petang sebelum 18 pegawai dan anggota dari BBP Setiu dan Kuala Nerus dikejarkan ke lokasi kejadian bersama tiga jentera.

“Punca kejadian masih dalam siasatan, bagaimanapun kita tidak menolak ia berlaku akibat litar pintas. Kerugian dianggarkan kira-kira RM200,000,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *