Portal berita terbaik anda

Utama

‘Bakti terakhir untuk mama’ – Tiga beradik yatim piatu, ibu pergi selepas lima hari ditidurkan

TUMPAT: Tiada apa yang lebih bermakna buat Imran Muzakkir Mohd Isram, melainkan dapat mengurus dan mengimamkan solat jenazah ibunya yang pergi buat selama-lamanya akibat COVID-19.

“Saya sendiri meminta daripada petugas hospital untuk menjadi imam solat jenazah mama di Unit Forensik kerana hanya itu sahaja bakti terakhir saya untuk mama,” kata remaja berusia 16 tahun itu yang juga anak sulung dalam tiga beradik.

Imran Muzakkir kematian ibunya, Wan Suzana Wan Daud, 48, akibat COVID-19 pada tengah malam Khamis lalu, selepas lima hari ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

Selain mengimamkan jenazah ibunya, remaja itu juga menyempurnakan tanggungjawab menguruskan jenazah di tanah perkuburan dengan lengkap memakai pakaian perlindungan diri (PPE).

Imran Muzakkir berkata, kesedihan pemergian arwah ibunya yang meninggalkannya dan dua adik, Izmeer Muzakkir, 14, dan Irdina Zafida, 8, tidak dapat dibayangkan di saat mereka masih meratapi kehilangan bapa, Mohd Isram Muhammad, 52, akibat penyakit buah pinggang pada Mac lalu.

“Sudah tiada lagi tempat kami mengadu kecuali menumpang kasih ibu dan bapa saudara di sebelah arwah mama dan papa.

“Semua yang berlaku bagaikan mimpi dan walaupun saya sendiri tidak kuat menempuhi ujian ini, saya perlu cekalkan hati demi dua adik dan menganggap segala yang berlaku sebagai takdir,” katanya ketika ditemui di Kampung Tujoh, di sini, hari ini.

Pelajar Tingkatan Empat dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tumpat itu berkata, dia dan seorang adiknya, Izmeer Muzakkir, sempat menatap wajah arwah ibu mereka sebaik menghembuskan nafas terakhir menerusi panggilan video yang dibuat oleh pihak hospital dan mengakui detik itu paling memilukan.

Apa yang turut menyedihkan, bukan sahaja ibunya, tapi datuk dan neneknya yang juga ibu bapa arwah Wan Suzana turut dijemput Ilahi pada 17 dan 18 September lalu akibat COVID-19.

“Saya sepatutnya menerima suntikan vaksin pada 22 September lalu tetapi perlu ditemani penjaga dan disebabkan mama masih di ICU, saya tidak dapat menghadirinya.

“Walau keadaan mama dilihat kritikal ketika itu, saya masih mengharapkan ada keajaiban tetapi sebaik dimaklumkan mama sudah menghembuskan nafas terakhir, kami tiga beradik reda dengan ketentuan,” katanya.

Allahyarham Wan Suzana yang juga seorang guru di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor 1, dimasukkan ke hospital awal bulan ini apabila mengalami gejala COVID-19 selepas pulang ke rumah selepas beberapa hari menjaga ibunya, Hamidah Abdul Aziz, 75, yang dirawat di Hospital Tumpat akibat beberapa penyakit.

Adik ipar Allahyarham Wan Suzana, Nur Harliana Ramli, 42, berkata disebabkan itu, Wan Suzana dan tiga anak serta ibu bapanya segera dirujuk untuk pemeriksaan.

“Hasilnya, Wan Suzana dan ibu bapanya positif COVID-19 dan dirujuk ke hospital manakala Imran dan Irdina yang juga positif hanya ditempatkan di Pusat kuarantin dan rawatan COVID-19 berisiko rendah (PKRC) serta kuarantin kendiri.

“Ibu Wan Suzana meninggal dunia di Hospital Tumpat pada pagi Jumaat lalu disusuli bapanya, Allahyarham Wan Daud Wan Mat, 78, keesokan harinya iaitu jam 8.30 pagi di ICU HRPZ II,” katanya.

Nur Harliana berkata, ketiga-tiga anak saudaranya akan terus menetap di rumah datuk dan neneknya itu dan dijaga oleh mereka sekeluarga sama ada sebelah ibu atau bapa.

Loading...

Leave a Reply