Wan Azizah akui pernah ditawar jadi perdana menteri

0
123

JAKARTA: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui beliau ditawarkan jawatan Perdana Menteri selepas Pakatan Harapan (PH) diumumkan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada malam 9 Mei lalu.

Berkongsi pengalaman itu dengan kira-kira 200 rakyat Malaysia di Indonesia sempena lawatan kerja pertamanya, Timbalan Perdana Menteri berkata, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V memberi tawaran itu kerana beliau ialah Presiden PKR dan simbol parti itu digunakan semua parti dalam PH pada PRU-14.

“Bagaimanapun, saya menolak tawaran itu kerana kita berpegang kepada janji bahawa Tun Dr Mahathir (Mohamad) akan menjadi Perdana Menteri dan saya menjadi Timbalan Perdana Menteri,” katanya ketika berucap pada acara itu di Kedutaan Besar Malaysia, di sini malam ini.

Beliau berkata, pada mulanya mereka juga tidak menyangka memenangi pilihan raya dan menumbangkan sebuah kerajaan yang kukuh sejak negara mencapai kemerdekaan.

“Alhamdulillah pertukaran kerajaan berlaku secara aman dan kita mohon sabarlah sikit sebelum perubahan lebih baik berlaku kerana kita ada masalah hutang,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan rakyat Malaysia mengenai tindakan terhadap mana-mana menteri yang tidak menunjukkan prestasi kerja memuaskan, beliau berkata dalam setiap mesyuarat jemaah menteri, Dr Mahathir sentiasa memberi amaran supaya jangan mengambil rasuah.

“Mengenai prestasi menteri, berikanlah kami sedikit masa kerana masih dalam proses belajar, tetapi saya ambil maklum terhadap pandangan rakyat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here