Wakil rakyat pembangkang keluar dewan, tak setuju pelantikan speaker

0
482

Hanya beberapa minit selepas anggota parlimen duduk di kerusi masing-masing untuk memulakan sidang parlimen, anggota parlimen Umno dan PAS melangkah keluar dewan sebagai tanda bantahan.

Tindakan anggota parlimen pembangkang yang keluar dewan itu dipercayai berhubung cadangan pelantikan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Yusof sebagai speaker.

Bagaimanapun, menurut Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (BERSATU-Muar) melalui kenyataan di Twitter, bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin (Umno-Rembau) dan bekas Ketua Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin tidak menyertai anggota parlimen pembangkang lain yang keluar dewan.

Difahamkan, Datuk Seri Anifah Aman (Umno-Kimanis) turut tidak meninggalkan dewan.

Terdahulu, setiausaha Dewan Rakyat memaklumkan pihaknya menerima surat daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung cadangan pelantikan Mohamad Ariff pada 2 Julai lalu.

Ia kemudian mendapat bantahan daripada anggota parlimen pembangkang yang menjerit “Tipu, tipu”.

Dalam keriuhan bantahan itu, Dr Mahathir kemudian mengumumkan pelantikan Mohamad Ariff sebagai speaker.

Untuk rekod, terdapat pertikaian berhubung peraturan yang menetapkan tempoh untuk menyerahkan nama calon speaker.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here