Portal berita terbaik anda

Politik

Video semburit: Azmin dicabar dedahkan siapa dalang

KUALA TERENGGANU – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dicabar agar berterus terang dan dedahkan terus siapa dalang yang dimaksudkannya di sebalik penyebaran video seks sejenis yang dikaitkan dengan dirinya.

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata, sesudah menyebut siapa dalang itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu perlu segera laporkan perkara itu kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.

Beliau memberitahu, ini kerana, rakyat serta masyarakat umum sudah bosan dengan isu berkenaan yang sehingga hari ini masih tiada penyelesaian sejak ianya tercetus.

“Sepatutnya terus sebut dan laporkan supaya pihak berkuasa boleh ambil tindakan selanjutnya serta menyelesaikan isu video semburit itu.

“Ini kerana rakyat dan masyarakat umum sudah bosan dengan isu ini yang terlalu lama tiada penyelesaiannya,” katanya menerusi aplikasi whatsapp kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau memberi reaksi terhadap pengakuan Mohamed Azmin ketika berucap pada majlis kesyukuran dan doa selamat di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor malam tadi, bahawa pemimpin nombor dua PKR itu tahu siapa dalang di sebalik penyebaran video yang dikaitkan dengan dirinya.

Azan berkata, ketika asyik dengan isu terbabit, kerajaan sekarang seolah-olah dilihat sudah jauh tersasar daripada tumpuan serta matlamat sebenar untuk memulihkan keadaan negara dalam pelbagai aspek terutama masalah ekonomi.

“Kerajaan dilihat sudah jauh terpesong daripada tumpuan sebenar untuk memulihkan keadaan dalam negeri dari pelbagai aspek khususnya masalah ekonomi yang seolah-olah hilang navigasi dan remidinya sekarang ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply