Portal berita terbaik anda

Utama

Video anak autisme dikasari pengetua pusat asuhan undang kemarahan netizen

SEORANG bapa membuat laporan polis mendakwa anak lelakinya berusia tujuh tahun yang juga kanak-kanak autistik dicederakan ketika berada dalam jagaan sebuah pusat jagaan di Bandar Baru Ampang, pada Jumaat lalu.

Menurut Tengku Aminuddin Shafiq Tengku Ibrahim, 37, dia menghantar anaknya ke pusat jagaan khusus untuk kanak-kanak autistik itu pada jam 8.45 pagi pada hari kejadian.

Katanya, dia kemudian mengambil anaknya pada jam 12.45 tengah hari dan menghantarnya pulang ke rumah.

“Sewaktu menjemput anak, guru yang bertugas di pusat jagaan berkenaan memberitahu anak saya mengalami sedikit kecederaan di bahagian mata kerana mogok semasa makan dan ketika memeriksanya memang terdapat sedikit kesan.

“Saya terus hantar anak ke rumah dan kembali meneruskan kerja, namun isteri saya kemudian memaklumkan terdapat kesan lebam di bahagian badan anak,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook, hari ini.

Beliau turut berkongsi gambar kesan kecederaan dialami anaknya dan juga rakaman video menunjukkan anaknya dikejar serta diheret oleh seorang wanita yang didakwa Pengetua di pusat berkenaan.

Menurutnya, selepas mendapat makluman daripada isterinya, dia bertindak kembali ke pusat jagaan terbabit untuk mendapatkan penjelasan serta meneliti CCTV bagi mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

Tengku Aminuddin Shafiq mendakwa, melalui video yang dirakam daripada kamera litar tertutup (CCTV) di pusat jagaan itu jelas menunjukkan anaknya takut terhadap wanita terbabit.

“Kesalahan anak saya ialah dia tidak mahu makan. Makanan diluah keluar semula dari mulut. Tetapi saya tidak rasa tindakan mereka mengheret anak saya di atas lantai dan mencederakan anak saya sebagai suatu tindakan yang munasabah.

“Saya sebagai bapa yang membayar yuran bulanan tanpa gagal, kesal dengan tindakan mereka dan tertanya tanya adakah servis yang sebegini rupa yang ditawarkan kepada kami dengan bayaran yuran agak tinggi oleh saya.

“Adakah ini teknik dan cara yang diamalkan oleh pakar ataupun seorang yang berpengalaman sebagaimana yang diwar warkan dalam mengendalikan anak-kanak autism? Dengan menggunakan kekerasan?” soalnya.

Menurutnya, susulan kejadian itu dia telah membuat laporan polis serta pemeriksaan kesihatan fizikal dan juga dalaman anaknya di hospital dan akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya.

“Kami kesal untuk mengetahui daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bahawa pusat ini tidak mendapat kelulusan dan lesen serta beroperasi secara tidak sah dan pelatih serta guru tidak mempunyai lesen atau kelayakan dalam mengajar anak-anak autism.

“Apa yang saya tidak dapat terima ialah apabila saya meminta justifikasi dari pihak mereka, saya telah diminta antara lain untuk menerima ketentuan Ilahi,” katanya. – Malaysiapost

Loading...

Leave a Reply