Veteran ATM berusia 100 tahun meninggal dunia akibat Covid-19

KUALA LUMPUR – Perajurit Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tertua Perang Dunia Kedua, Prebet Ujang Mormin, 100, meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, hari ini.

Allahyarham berasal dari Rembau, Negeri Sembilan dan pernah berjuang dalam batalion sama bersama dengan Allahyarham Leftenan Adnan Saidi menentang penjajah Jepun di Singapura.

Pengerusi Koperasi Bekas Warga Rejimen Pertama Askar Melayu Diraja, Kapten (B) Datuk Mohd Awal Nordin berkata, Ujang yang dilahirkan pada 14 Jun 1921 meninggal dunia dalam usia 99 tahun lapan bulan.

“Allahyarham adalah antara anak Melayu terawal diserap ke Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 1942.

“Sebelum ini alamat terakhirnya di Taman Pinggiran Pedas, Negeri Sembilan, namun kemudian dijaga dan ditempatkan di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan.

“Beliau dirujuk ke Hospital Sungai Buloh pada 26 Januari lalu apabila dikesan dikesan positif Covid-19 selepas seorang pesakit lain di Unit Rawatan Rapi (ICU) dijangkiti virus sama,” katanya.

Beliau berkata, maklumat kematian Ujang diterima pada 5.45 pagi hari ini dan disahkan Dr Omar dari Hospital Sungai Buloh.

Menurutnya, urusan mandi, mengkafankan dan solat jenazah diaturkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia di Hospital Sungai Buloh, dijangka 9 pagi esok.

Katanya, jenazah kemudian akan dibawa ke Pusara RAMD Port Dickson untuk disemadikan dan urusan persediaan kubur serta liang lahad sudah diuruskan 15 RAMD.

“Allahyarham Pak Ujang adalah seorang yang berpewatkkan sederhana dan mudah disukai. Ramah dan mudah menghulurkan bantuan sama ada berbentuk material mahu pun nasihat bagi generasi muda.

“Pemergian beliau amat dirasai oleh ramai rakan veteran. Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama-sama para solihin dan syuhada serta memperoleh keredaan Allah Yang Maha Esa,” katanya.

Loading...

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *