Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Nahas & Bencana

Ustazah Rohaya temui ajal tercampak keluar dari kereta

GURU wanita maut selepas tercampak beberapa meter dari kenderaannya dalam kemalangan di Kilometer 60 Jalan Jerantut-Lepar Utara 6, Jerantut, 8 pagi hari ini.

Mangsa, Rohaya Ahmad, 40, memandu kereta Proton Wira Aeroback dikatakan datang dari arah Lepar Utara 3 menuju Lepar Utara 1 sebelum bertembung dengan Proton Gen 2 dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu menyebabkan kereta dipandu Rohaya terjatuh ke tebing kiri jalan sebelum dia tercampak keluar dari kenderaan itu.

Beliau berkata, kemalangan itu menyebabkan wanita terbabit maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

“Pemandu Proton Gen 2, Mohamad Iqmal Abd Rashid, 23, parah selepas patah tulang bahu selain cedera di mulut.

“Kenderaan dipandu Mohamad Iqmal terbabas sebelum terjatuh ke sebelah kanan jalan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mazlan berkata, siasatan di lokasi kemalangan mendapati jalan berkeadaan lurus dengan satu lorong dua hala.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Jerantut untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén