Portal berita terbaik anda

Utama

Unik di Terengganu, dua rojak mesti cuba

KUALA TERENGGANU ― Terengganu, yang banyak berkongsi keunikan budaya pantai timur, mempunyai dua jenis rojak istimewa.

Satu diperbuat daripada daging bahagian kaki lembu dan satu lagi daripada buah betik segar. Kedua-duanya berkuah masam, pedas dan manis.

Rojak kateh, atau keting kaki lembu, direbus sehingga empuk selepas dihiris kecil-kecil daripada bahagian kaki haiwan tersebut yang telah dipanggang.

Kuahnya mengandungi cuka dan asam Jawa untuk menimbulkan rasa masam, selain lada giling dan nisan Terengganu bagi rasa pedas dan sedikit manis.

Ketulan kecil hirisan daging atau ligamen kaki lembu itu kemudian dimasukkan ke dalam kuah tersebut yang direbus agar menjadi sebati.

Di pasar-pasar tradisi di Terengganu, ia dijual dalam bungkusan kecil. Selalunya ia dimakan untuk menambah selera hidangan tengah hari atau malam.

Rojak betik

Namun, dengan tiga rasa tersebut, ia boleh dinikmati begitu sahaja.

Rojak betik pula dihasilkan dengan memarut halus, sebesar mi kuning tetapi nipis, daripada buah yang mengkal atau sudah tua tetapi belum masak.

Untuk memejalkannya agar lebih rangup, ia direndam dengan air kapur makan. Kepingan mentimun dan nenas mengkal digaulkan dengan betik ini.

Kuahnya pula aduan isi ikan yang telah dilumatkan dan kemudian dimasak dengan air asam Jawa (atau cuka), nisan Terengganu dan lada.

Hidangan ringkas ini, yang boleh disediakan di rumah, masih popular di kalangan penduduk Terengganu, misalnya dijual di pasar besar Kedai Payang.

Kalau anda melancong ke negeri, jangan lupa mencarinya di pasar-pasar tradisi. Dengan rasa masam-masam manis pedas, anda pasti hendak lagi.

Loading...

Leave a Reply