Portal berita terbaik anda

Politik

UMNO tidak akan terkubur – Najib

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO tahun ini merupakan peluang kepada parti itu untuk kembali bangkit selepas mengalami kekalahan kali pertama dalam pilihan raya umum sepanjang sejarah penubuhannya.

Keyakinan itu dizahirkan oleh bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengakui perhimpunan pada kali ini jauh berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Walau bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu memberitahu, perhimpunan tersebut boleh menjadi medan untuk mengenal siapa dalam kalangan kepemimpinan dan ahli parti yang benar-benar sayang serta cintakan UMNO.

“Saya percaya ahli-ahli dari serata negara yang datang kali ini ialah sebenar-benar ahli, yang setia dan betul-betul berpegang kepada perjuangan parti, yang tidak berganjak dan sentiasa menjunjung panji UMNO, tidak akan sesekali biarkan ia rebah ke tanah.

“Saya pernah sebut sebelum ini bahawa pemimpin datang dan pergi, tetapi perjuangan kita, parti UMNO, tidak akan terkubur,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebook beliau, hari ini.

Najib bagaimanapun mengakui UMNO kini berada di persimpangan yang cukup menduga kekuatan setiap seorang ahlinya.

“Dari satu sudut memang pahit untuk ditelan, tetapi dari satu sudut lain, ini adalah peluang untuk UMNO bangkit semula daripada abu,” jelas beliau. – UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply