Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Politik

UMNO jangan hidup di alam fantasi lagi

KUALA LUMPUR: Tindakan UMNO yang sukar berubah dan amat konservatif dengan meletakkan ramai calon ‘otai’ berbanding Pakatan Harapan (PH) yang menyenaraikan barisan calon muda, adalah antara faktor parti ini tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Pengerusi Pertubuhan Alumni Kelab-Kelab UMNO Luar Negara, Wan Agyl Wan Hassan, berkata PRU14 adalah manifestasi anak muda dan mereka yang mula meniupkan angin perubahan serta mengajak untuk mewujudkan apa yang dikenali sebagai Malaysia Baharu.

“Kepada UMNO, jika benar-benar mahu berubah, parti itu perlu memberi laluan kepada lebih ramai orang muda.

“Jangan hidup di alam fantasi lagi, hanya pemimpin muda saja yang mampu mengembalikan kepercayaan orang ramai kepada parti Melayu terbesar di negara kita ini.

“Bagi pemimpin Pergerakan Pemuda di peringkat pusat, bahagian mahupun cawangan perlulah berani ke hadapan menawarkan diri untuk memegang jawatan penting di dalam parti, manakala mereka yang diatas pergilah ke peringkat yang lebih tinggi.

“Sekarang adalah zaman anak muda, apatah lagi separuh daripada jumlah keseluruhan pengundi di Malaysia adalah anak muda berusia 21 hingga 39 tahun. Maka biarlah orang muda yang tentukan hala tuju Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Sehubungan itu, Wan Agyl berkata, beliau menyeru anak muda supaya tidak gentar dan pergi bertanding pada PRU akan datang.

“Dengan cara ini, UMNO pasti mampu berubah, UMNO pasti mampu mengembalikan kepercayaan rakyat kepadanya pada PRU akan datang.

“Janganlah takut-takut lagi wahai anak muda di dalam UMNO. Pergilah bertanding!,” katanya.

Wan Agyl berkata, Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini terkenal sebagai parti berpengaruh tewas kepada gabungan parti setahun jagung iaitu gabungan parti dalam PH kerana sokongan padu anak muda.

“Buat kali pertamanya dalam sejarah BN dilihat lemah dan tidak berpengaruh. Malah, ia hanya bergantung kepada UMNO kerana gabungan lain seperti MCA dan MIC hampir lumpuh serta sudah hilang kepercayaan daripada masyarakat yang diwakili mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menyeru kerajaan hari ini supaya terus memberi kepercayaan kepada orang muda bukan hanya untuk berada dalam bidang politik tetapi juga turut serta menentukan hala tuju negara.

Katanya ini boleh dilihat menerusi pelbagai isu yang ditimbulkan oleh anak muda, disebarkan menerusi pelbagai saluran media sosial.

Keputusan PRU14 lalu itu bukan saja mengejutkan rakyat Malaysia malah negara di Asia Tenggara terutamanya, mereka seakan-akan tidak percaya dengan keputusan itu.

Ini dapat dilihat apabila media utama luar negara tidak putus-putus membuat liputan mengenai transisi kerajaan ketika itu.

“Bagaimanapun, kini selepas hampir sebulan kerajaan dibentuk, masih tidak ada anak muda yang diangkat memegang jawatan penting di dalam kerajaan,” katanya.

Sebaliknya, yang ada cumalah ‘Majlis Penasihat’ yang dianggotai oleh orang lama di penghujung usia, kononnya untuk menyelamatkan Malaysia walhal, angin perubahan itu sebenarnya ditiup oleh anak muda.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén