Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Politik

‘UMNO di denyutan nadi terakhir, Pas datang bawa tali hayat baru’ – Pemuda DAP

Pemuda DAP Kebangsaan menyifatkan kerjasama politik antara PAS dan UMNO tidak hanya sekadar demi mendapatkan survival politik UMNO.

Ketua Pemuda DAP Kebangsaan Howard Lee Chuan How berkata, pada tahun 1973, UMNO berpeluang bekerjasama dengan PAS, apabila kehilangan kerusi di parlimen secara mendadak selepas Pilihanraya Umum 1969.

Katanya, selepas UMNO ‘mempergunakan’ PAS, parti itu disingkirkan daripada penyatuan mereka pada tahun 1977.

“Kini, apabila UMNO berada di denyutan nadi terakhir atas kesilapan mereka mentadbir negara dengan rasuah dan penyelewengan, PAS datang membawa tali hayat baru,” katanya.

Tambahnya, saranan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang mahu kesemua ahli PAS supaya melupakan dendam pada UMNO, disifatkan sebagai ketandusan idea oleh PAS dan UMNO dalam menawarkan solusi yang membina.

Menurutnya lagi, kesemua fitnah dan tuduhan liar kepada Pakatan Harapan (PH) dan DAP selama ini pula adalah sebagai langkah keterdesakan untuk menang dalam arena politik oleh UMNO dan PAS.

“‘Perkahwinan’ kepimpinan UMNO dan PAS hari ini adalah suatu pengkhianatan yang menyedihkan ramai ahli akar umbi PAS yang masih setia kepada perjuangan asal parti.

“Atas nama penyatuan ummah ini, PAS dan UMNO menuduh parti pilihan rakyat sebagai rasis dan cauvinis, dengan melontarkan penipuan dan fitnah.

“Hakikatnya merekalah yang rasis dan cauvinis serta menipu rakyat melalui siri kerjasama di belakang tabir sebelum ini,” katanya menerusi posting di halaman Facebook beliau.

Dalam pada itu, beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri menyelar tindakan UMNO dan PAS yang menyebarkan berita palsu kononnya gabungan parti itu telah memperolehi majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mendakwa telah menghadap Sultan Perak.

Ujar Howard, taktik itu dilihat seolah-olah cuba menjejaskan kestabilan kerajaan negeri yang dipimpin PH.

Katanya lagi, nada Ketua Pemuda PAS Perak baru-baru ini pula seolah-olah menghalalkan rampasan kuasa seperti yang pernah berlaku di Perak pada tahun 2009.

“PAS yang sebelum ini berada dalam Pakatan Rakyat telah melalui fasa ‘rampasan kuasa’ secara haram oleh Barisan Nasional yang diketuai oleh UMNO, terhadap kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara sah di Perak.

“Namun, tanpa segan silu mereka sanggup pula untuk bersama-sama dengan UMNO kembali demi survival kuasa politik mereka.

“Apabila penyatuan ummah disebutkan sebagai sebab utama UMNO dan PAS berkahwin hari ini, adakah ahli-ahli akar umbi PAS sedia menerima penyatuan tersebut yang didirikan di bawah payung penipuan, perompakan, penyamunan rakyat dan kleptokrasi yang sinonim dengan UMNO?”, soalnya.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén