Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Utama

UM kecam tindakan biadap Wong Yan Ke

KUALA LUMPUR – Pentadbiran Universiti Malaya (UM) hari ini mengecam keras tindakan seorang graduan yang mengeluar dan menayangkan plakad bertulis ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ ketika berada di pentas majlis istiadat konvokesyen universiti itu, semalam.

Wong Yan Ke, graduan Kejuruteraan Awam UM itu turut menjerit “ini tanah Malaysia”, selepas menerima ijazahnya di atas pentas.

Menurut Pengarah Komunikasi Korporat UM, Izat Raya, perbuatan dan tindakan graduan itu jelas tidak menghormati istiadat dan mengganggu protokol serta kelancarannya.

Ia juga, katanya, telah mencemarkan nama baik Universiti Malaya sebagai sebuah institusi pengajian tinggi, juga para graduan dan seluruh warga UM.

“Sebagai sebuah universiti yang diiktiraf dunia selaku antara yang terbaik, UM sentiasa mendukung prinsip kebebasan bersuara.

“Bagaimanapun, sebagai institusi pengajian tinggi yang menggalas amanah untuk mendidik generasi masa depan, kami juga percaya apa jua tindakan berlandaskan prinsip tersebut perlu dilakukan pada tempat dan dengan cara yang betul,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Dalam pada itu, satu laporan polis telah dibuat oleh Pegawai Keselamatan UM di Balai Polis Pantai kira-kira jam 12.32 tengah malam tadi.

Difahamkan Yan Ke bertindak demikian sebagai protes dengan penglibatan Naib Canselor UM, Datuk Ir. Abdul Rahim Hashim dalam Kongres Maruah Melayu di Shah Alam, baru-baru ini.

Menurut Izat, menjadi tanggungjawab universiti bagi memastikan mahasiswa yang diasuh dan dididik bukan sahaja menjadi individu berpengetahuan, tetapi lebih penting lagi dapat memanfaatkan ilmu dimiliki untuk menjadi insan terdidik dan berakhlak.

Katanya, universiti itu juga mahu setiap mahasiswa menghormati prinsip ‘kesopanan dan kesusilaan’ dan arif akan peranan serta tanggungjawab mereka sebagai sebahagian daripada masyarakat dan warga sebuah negara berperlembagaan.

Justeru, ujar beliau, kelakuan yang ditunjukkan Yan Ke dalam istiadat yang dibuka secara rasmi oleh Tuanku Canselor Universiti Malaya, Sultan Nazri Shah Sultan Azlan Shah pada sidang pertama Sabtu lalu adalah biadab dan tidak dapat diterima sama sekali.

Kata beliau, istiadat konvokesyen yang diteruskan dengan perkenan baginda sehingga sidang terakhir Rabu ini turut dihadiri tetamu kenamaan, pensyarah, graduan dan diraikan ibu bapa mereka. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Theme by Anders Norén