Portal berita terbaik anda

Politik

Kelantan akan jadi milik PH PRU15 – Tun M

KOTA BHARU – Tun Dr. Mahathir Mohamad yakin Pakatan Harapan (PH) mampu menawan negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Perdana Menteri berkata, perkara itu berdasarkan prinsip perjuangan PH yang membela nasib rakyat serta berkhidmat kepada negara dan bangsa.

Beliau berkata, kehadiran dan sokongan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dari 14 bahagian di negeri ini juga menunjukkan sokongan rakyat di peringkat akar umbi sudah mula berubah.

“Seperti kita tahu, pemerintah terdahulu lari daripada prinsip perjuangan dan mereka sering berpendapat tidak akan kalah. Mereka menjadi terlalu yakin apabila sudah menggunakan kuasa demi kepentingan diri.

“Malah, mereka juga yakin tiada parti lain yang mampu mentadbir negara ini selepas 60 tahun mereka menjadi pemerintah. Mereka sendiri yang melakukan perkara buruk sehingga merosakkan imej parti.

“Rakyat sudah boleh berfikir bahawa mereka tidak boleh lagi dicucuk hidung dan pada 10 Mei lalu sudah terbukti kerajaan baharu ditubuhkan. Malah, pemimpin hari ini juga dahulunya tidak menyangka akan menjadi sebuah kerajaan sehingga masih terfikir sebagai parti pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dalam Majlis Ramah Mesra Pimpinan Pakatan Harapan negeri, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Tun Siti Hasmah Mohamad Ali, Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu, Pengerusi Pakatan Harapan negeri, Senator Datuk Husam Musa dan Naib Presiden PPBM, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman. -UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply