Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Politik

Tun M terima ‘sampah’ Umno – Ronnie Liu

TINDAKAN Pengerusi Dr Mahathir Mohamad menerima penyertaan tujuh bekas ahli parlimen (MP) Umno ke dalam Bersatu disifatkan mengecewakan.

Setiausaha DAP Selangor Ronnie Liu mengingatkan Mahathir pernah berjanji tidak akan menerima anggota parlimen Umno, sebelum pilihan raya umum lalu.

“Saya tahu kerana saya berada di sana. Saya mendengarnya dengan telinga saya sendiri. Dan saya percaya kepadanya.

“Ia benar-benar tindakan mengecewakan yang dilakukan oleh Dr M, menerima sampah seperti ini.

“Jadi apa yang berlaku jika lebih banyak katak daripada Umno meninggalkan kapal dan meminta untuk menyertai Bersatu.

“Adakah Bersatu akan membawa mereka secara beramai-ramai seperti ini? Adakah kita menyaksikan pengambilalihan Bersatu oleh bekas orang Umno,” kata Ronnie di Facebooknya, hari ini.

Mahathir semalam menerima kemasukan tujuh MP bebas yang sebelum ini bersama Umno ke dalam Bersatu, semalam.

Mahathir menyerahkan kad keanggotaan Bersatu kepada anggota parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsuddin, Hamzah Zainuddin (Larut), Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah); Abdul Latiff Ahmad (Mersing) dan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam).

Rosol Wahid (Hulu Terengganu) tidak sempat menerimanya semalam kerana dalam perjalanan ketika majlis berlangsung.

Mereka keluar Umno pada Disember lalu.

Ketika ini Bersatu mempunyai 22 ahli parlimen.

Ronnie turut mempersoalkan sama ada kesemua pemimpin yang keluar parti itu telah diperiksa dengan sebaiknya sebelum diterima masuk menyertai parti komponen di dalam Pakatan Harapan (PH).

Beliau turut memetik kenyataan Naib Presiden DAP Chang Lih Kang bahawa rakyat telah membuat keputusan untuk menolak BN pada PRU14.

“Kita tidak seharusnya menentang kehendak mereka (rakyat) untuk mengembalikan anggota parlimen dari bekas rejim ke dalam gabungan kerajaan baru.

“Ia adalah satu pengkhianatan terhadap keputusan rakyat. Ini bukan apa yang rakyat mengundi dalam PRU14,” katanya.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén