Tun M terima anugerah tertinggi Jepun daripada Maharaja Akihito

0
256

TOKYO: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini dianugerahi “Grand Cordon of the Order of the Paulownia Flowers” daripada Maharaja Akihito dari Jepun.

Penganugerahan tertinggi Jepun itu diberi berdasarkan sumbangan besar perdana menteri dalam usahanya mengukuhkan hubungan dua hala.

Majlis penganugerahan itu berlangsung di Imperial Palace di sini pukul 9.45 pagi waktu tempatan (8.45 pagi waktu Malaysia).

Anugerah itu adalah pemberian tertinggi yang diberi kepada pemimpin luar bagi sumbangan terhadap hubungan dua hala antara negara berkenaan dengan Jepun selain sumbangan mereka kepada rantau ini.

Dr Mahathir adalah pemimpin ketiga dari Asia yang menerima anugerah berprestij ini selepas bekas Perdana Menteri Singapura, mendiang Lee Kuan Yew, dan bekas Perdana Menteri India, Manmohan Singh.

Beliau kini dalam lawatan kerja tiga hari ke Jepun sejak Isnin.

Sementara itu Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe berkata penganugerahan tertinggi negara itu disampaikan kepada Dr Mahathir terhadap pelbagai khidmat gigih yang dicurahnya selama bertahun-tahun dalam meningkatkan lagi hubungan antara dua negara.

“Perdana Menteri Dr Mahathir, terimalah ucapan tahniah atas penganugerahan “Grand Cordon of the Order of the Paulownia Flowers” ini. Di bawah dasar Pandang ke Timur yang diketengahkan oleh Perdana Menteri, rakan lama Jepun yang melawat negara ini lebih dari 100 kali; jumlah pelajar dan pelatih yang datang ke Jepun sejak 36 tahun lepas mencecah angka 60,000,” katanya dalam persidangan media bersama dengan Dr Mahathir.

Dr Mahathir berkata beliau merasa amat bangga dengan penganugerahan oleh Maharaja dan kerajaan Jepun itu. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here