Tun M salahkan Najib, Pak Lah sebab naikkan gaji penjawat awam

0
4607

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad diberi penghargaan kerana membina Putrajaya, kota besar yang dibangunkan dari sebuah pekan kecil untuk memuatkan pejabat kerajaan yang berpindah dari bangunan yang melemaskan di Kuala Lumpur.

Namun perdana menteri itu tidak meminati perkhidmatan awam yang besar, dan percaya gaji tidak wajar dinaikkan dengan kerap.

Dalam satu temubual dengan FMT di pejabatnya di Putrajaya, Dr Mahathir berulang kali menolak kenaikan gaji, dengan berkata bahawa ia antara faktor kenaikan kos sara hidup.

“Anda naikkan gaji, sektor swasta akan ikut sekali, dan kos semua benda akan naik. Bukan begitu caranya mengurus organisasi,” katanya.

Dr Mahathir, yang meletak jawatan pada 2003 selepas 22 tahun memerintah, tidak gembira falsafahnya tidak diikuti oleh pengganti beliau dalam tempoh 15 tahun ketiadaannya dalam kerajaan.

“Mereka menambah bilangan pekerja, daripada 1 juta ketika saya berundur kepada 1.6 juta orang,” katanya.

Beliau berkata, beban itu kini diwariskan kepada kerajaan Pakatan Harapan.

“Tambahan sebanyak 600,000 gaji untuk dibayar, dan mereka naikkan gaji kadang-kadang 2 kali setahun. Mula-mula 10% dan kemudian 10% lagi.”

Saiz perkhidmatan awam yang terlalu besar menjadi kebimbangan sejak sekian lama kerana perbelanjaan mengurus memakan sebahagian besar daripada belanjawan negara setiap tahun.

Pada 2003, ketika Dr Mahathir menamatkan penggalnya sebagai perdana menteri ke-4, kerajaan membelanjakan RM22 bilion untuk gaji penjawat awam.

Pada 2016, angka itu naik berganda kepada RM76 bilion.

Sementara itu, pencen penjawat awam pada 2016 adalah RM19 bilion, berbanding RM5.9 pada 2003.

Dr Mahathir berkata, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang mengambil alih pentadbiran kerajaan pada 2003, dan Datuk Seri Najib Razak hanya memburukkan lagi beban itu, dengan menaikkan gaji penjawat awam dalam usaha untuk “membeli kesetiaan mereka”.

“Apa yang mereka buat adalah beli kesetiaan penjawat awam dengan menaikkan gaji mereka, kadang-kadang sebanyak 25%.

“Dari mana datangnya wang untuk itu? Anda dapat wang itu dengan mengecilkan belanja pembangunan.”

“Anda berkata perkhidmatan awam tidak menjadi lebih cekap walaupun saiznya bertambah 60%.

“Jadi produktiviti tetap sama, bukannya lebih baik.”

Beberapa hari sebelum pilihan raya umum 9 Mei, Barisan Nasional menjanjikan perkhidmatan awam kenaikan gaji pada Julai yang akan menelan belanja sebanyak RM1.46 bilion.

Ia tidak dilaksanakan kerana kekalahan gabungan itu.

“Kami tak boleh buat (tunai janji itu) kerana kita tidak ada wang,” kata Dr Mahathir.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here