Portal berita terbaik anda

Utama

Tun M akui penjawat awam tidak bersalah jadi mangsa PH

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mengakui keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) membubarkan beberapa agensi selepas menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menyebabkan ramai penjawat awam yang tidak bersalah menjadi mangsa diberhentikan kerja.

Atas sebab itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pihaknya bersedia untuk mengkaji semula dengan meneliti sama ada pegawai dan kakitangan kerajaan berkenaan terlibat dalam agenda kepemimpinan negara dahulu.

“Memang ramai jadi mangsa atas tindakan kita, (jadi) kita akan ambil perhatian sebab mereka tak terlibat dalam politik tapi hanya menjadi kakitangan kerajaan.

“Sekarang kita sedang mengumpul data-data mengenai mereka yang kehilangan punca pendapatan sebab tindakan tutup agensi kerajaan yang salah guna dahulu,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusi Mesyuarat Majlis Presiden PH di Menara Yayasan Selangor, di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden DAP, Gobind Singh Deo.

Pada 16 Mei lalu, Perdana Menteri berkata, kerajaan menamatkan perkhidmatan kira-kira 17,000 penjawat awam berstatus kontrak kerana mereka adalah lantikan politik daripada pentadbiran kerajaan terdahulu.

Seterusnya pada 23 Mei lalu, Dr. Mahathir mengumumkan pembubaran beberapa agensi seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Majlis Profesor Negara (MPN) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).

Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi PH menjelaskan, pihaknya terpaksa mengutip dana untuk parti tersebut dalam Majlis Makan Malam esok namun bimbang tindakan tersebut akan disalah tafsir sebagai rasuah.

Jelas beliau, PH sama sekali tidak akan memberi peluang kepada sesiapa yang cuba untuk memberi rasuah pada majlis tersebut kerana mereka akan membeli meja, menderma membeli barangan lelong.

Katanya, jumlah keseluruhan kutipan tersebut akan diumumkan bagi menggelak daripada dituduh menerima rasuah dan tidak menjejaskan keputusan kerajaan.

“Kami akan mengumumkan jumlah wang dipungut tetapi tidak akan umum siapa yang memberi dan banyak mana dia beri, tapi percayalah ini bukan juta-juta cuma mungkin puluhan ribu, jumlahnya mungkin tak banyak,” katanya.

Majlis Makan Malam PH dijadualkan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, esok. – UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply