Tujuh bekas ahli Parlimen Umno diterima masuk PPBM

PENGERUSI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa mengumumkan penyertaan enam bekas Anggota Parlimen Umno ke dalam PPBM.

Mereka ialah Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Dr Mahathir berkata keenam-enam anggota parlimen itu diterima menyertai PPBM setelah mengkaji permohonan mereka selain meletakkan syarat bahawa mereka hanya akan menjadi anggota biasa tanpa memegang sebarang jawatan dalam parti.

“Menjadi ahli PPBM tidak bermakna mereka mencari perlindungan daripada parti ini. Kita tidak akan memberi perlindungan terhadap apa-apa yang dilakukan dahulu,” kata Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri dalam sidang media, di Putrajaya pada Selasa.

Terdahulu, beliau menyampaikan kad keahlian PPBM kepada keenam-enam anggota parlimen tersebut serta Anggota Parlimen Masjid Tanah Mas Ermiyatie Samsudin yang telah menyertai PPBM pada Disember tahun lepas. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here