TSG kini berstatus No. 1 di Asia

PASUKAN berbasikal benua negara, Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) berjaya mengharumkan nama Malaysia selepas skuad yang berpangkalan di Terengganu itu menduduki ranking No. 1 dalam Jelajah Asia berdasarkan senarai rasmi yang dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Pencapaian itu menyaksikan TSG berjaya mengatasi pasukan gergasi lain seperti Astana Motors dari Kazakhstan yang jatuh ke ranking keenam dan Aisan R­acing Team dari Hong Kong yang jatuh ke ranking ke-20.

Dalam senarai tersebut, TSG me­ngumpul 1,577.5 mata secara keseluruhan de­ngan pelumba importnya, Artem Ovechkin dari Rusia menjadi penyumbang mata terbanyak menerusi 597 mata termasuk ketika merangkul jersi kuning pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun lalu.

Kejayaan itu turut dikongsi oleh sebuah lagi pasukan benua negara, Team Sapura Cycling (TSC) yang turut mengukir pres­tasi membanggakan apabila menghuni kedudukan No. 2 Jelajah Asia menerusi 1,128 mata manakala HKSI Pro Cycling Team (Hong Kong) di tangga ketiga de­ngan 921.02 mata.

Ketua Pasukan TSG, Mohd. Zamri Saleh berkata, pencapaian menakjubkan tersebut dilihat sebagai suntikan motivasi buat mereka untuk terus bekerja keras pada saingan perlumbaan musim ini.

“Berada di kedudukan No. 1 Asia memberi kelebihan kepada kami. Ini kerana TSG pastinya bakal menerima jemputan dalam mana-mana perlumbaan berprestij dengan lebih banyak sekali gus memboleh­kan kami mengumpul lebih banyak mata bagi mengukuhkan kedudukan tersebut.

“Berada pada tahap ini bukan bermakna tanggungjawab kami sudah selesai, sebaliknya ia merupakan signal untuk kami melipatgandakan usaha untuk berada pada tahap lebih baik serta terus mengharumkan nama negara,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Skuad TSG dijadualkan memulakan kayuhan pertama musim ini pada perlumbaan Ronda Philipinas pada 8 Februari depan.

Mereka kemudian akan menjalani latihan pusat di Melbourne, Australia pada 19 Februari depan sebelum menyertai perlumbaan LTdL 2019 dengan membawa misi mempertahankan jersi kuning yang diraih tahun lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here