Portal berita terbaik anda

Utama

‘Tolong pulangkan, kalau tak saya terpaksa bayar RM120,000’ – Pemilik treler susu

PEMILIK treler yang terbalik dalam kemalangan di Kampung Tawang, Bachok terpaksa membayar kos kerugian RM120,000 selepas barangan itu diambil oleh orang ramai, lapor Harian Metro.

Azizan Zainuddin, 57, berkata, lori yang dipandu anaknya, Mohd Baihaki, 25, itu membawa 24 palet susu dan mereka hanya mengambil upah menghantar bekalan susu tin itu dari Klang, Selangor ke gudang di Pengkalan Chepa.

“Setakat ini saya hanya menerima semula dua palet. Satu palet mengandungi 50 kotak susu. Satu kotak ada 48 tin susu, bayangkan berapa banyak saya rugi jika orang ramai tidak pulangkan kepada saya,” katanya.

Azizan berkata, dia kecewa dengan tindakan orang ramai yang mengambil susu-susu tersebut tanpa kebenaran termasuk ada yang sanggup menyamar sebagai ‘tauke’ demi menghalalkan perbuatan mereka.

Bagaimanapun, dia merayu agar orang ramai memulangkan semula susu yang diambil untuk memudahkan urusannya dengan pemilik barangan itu

“Kalau malu, boleh hantar ke rumah saya di Kampung Pengkalan Haji Ali atau letak semula di tempat kemalangan.

“Setakat hari ini, dua penduduk kampung sudah hantar semula susu yang diambil dan saya harap yang lain segera berbuat demikian,” katanya.

Azizan berkata, dia juga akan meminta pihak masjid di Wakaf Zin membuat pengumuman mengenainya waktu solat Jumaat esok.

“Orang ramai yang mahu pulangkan susu boleh hubungi saya di talian 014-8498669,” katanya.

Kejadian jam 4 petang semalam tular di laman sosial apabila orang ramai tanpa segan silu mengambil susu dari lori tersebut.

Difahamkan pemandu yang luka di dahi sempat melihat muatan yang dibawa tidak bertaburan sebelum dia dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu gambar-gambar orang ramai mengambil susu tersebar di laman sosial.

Loading...

1 Comment

  1. roslina

    Teruknya perangai orang2 ni..kebulur sgt..

Leave a Reply