Tol percuma bermula 11 malam hingga 5 pagi di empat lebuh raya

KERAJAAN akan mengambil alih empat lebuh raya bertol di Lembah Klang yang dikendalikan syarikat konsesi Gamuda Berhad, umum Pejabat Perdana Menteri, dan menggantikan kaedah kutipan tol sedia ada kepada satu kaedah baru dengan kadar lebih rendah.

Empat lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART, yang dipegang secara majoriti oleh Gamuda.

Kaedah kutipan tol baru itu nanti akan dilaksanakan mengikut tiga pecahan masa iaitu waktu puncak, waktu biasa dan waktu bukan puncak.

“Dengan kejayaan pengambilalihan tersebut, kerajaan bercadang untuk menghapuskan mekanisma kutipan tol sedia ada,” kata kenyataan itu yang dikeluarkan petang ini.

Di bawah kaedah baru itu nanti, kadar tol sedia ada dikekalkan sepanjang enam jam sehari waktu puncak pada sebelah pagi dan petang, dan dikenali sebagai caj kesesakan.

Kadar tol akan dimansuhkan sama sekali pada waktu bukan puncak antara 11 malam hingga 5 pagi, manakala bagi waktu lain, pengguna diberikan diskaun 30% daripada kadar tol sedia ada. – 23 Februari, 2019.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *