Portal berita terbaik anda

Utama

Tol motosikal di Jambatan Pulau Pinang dimansuhkan

PULAU PINANG – Pengguna motosikal di kedua-dua jambatan di negeri ini boleh menarik nafas lega selepas tidak lagi perlu membayar tol bermula selepas tengah malam ini.

Pemansuhan tol itu susulan pengumuman oleh Menteri Kewangan, Lim Guang Eng ketika pembentangan Bajet 2019 di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Keputusan itu turut melibatkan pemansuhan tol motosikal di Lebuhraya Laluan Kedua di Johor-Singapura.

Kadar tol motosikal bagi Jambatan Pulau Pinang sebelum ini adalah RM1.40 manakala Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) RM1.70 sehala.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di plaza tol Jambatan Pulau Pinang di sini mendapati kakitangan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sedang melakukan kerja-kerja terakhir sebelum penutupan tol berkenaan.

Dalam pada itu, Kementerian Kerja Raya dalam satu kenyataan di sini memaklumkan, pemansuhan tol motosikal itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 20,000 pengguna di Jambatan Pulau Pinang manakala seramai 2,000 lagi di JSAHMS.

Katanya, pemansuhan tol di Jambatan Pulau Pinang adalah 19 tahun lebih awal berbanding perjanjian konsesi lebuh raya manakala di JSAHMS pula 34 tahun lebih awal.

“Bagi keselamatan dan keselesaan, pengguna dinasihatkan sentiasa mematuhi peraturan dan papan tanda yang disediakan sepanjang laluan motosikal tersebut,” demikian menurut kenyataan itu.

Pemansuhan tol motosikal di kedua-dua jambatan terlebih dahulu dijanjikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekiranya Barisan Nasional (BN) kekal berkuasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Bagaimanapun, dalam tawaran balas, Guan Eng mengumumkan Pakatan Harapan (PH) akan memansuhkan tol bagi semua kelas kenderaan di kedua-dua jambatan berkenaan sekiranya berjaya merampas kerajaan.

Namun, setakat ini, hanya tol bagi pengguna motosikal di kedua-dua jambatan dimansuhkan manakala janji untuk menghapuskan tol lain di seluruh negara masih gagal dilaksanakan kerajaan PH. – UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply