Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Utama

Tol Ajil, Kuala Terengganu sesak 10 kilometer

SUSUR keluar Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Plaza Tol Ajil, Kuala Berang dan Kuala Terengganu di Kampung Gemuruh sesak hampir 10 kilometer berikutan pertambahan jumlah kenderaan masuk ke negeri sempena cuti Aidiladha.

Tinjauan di kedua susur keluar LPT2 itu mendapati aliran trafik bergerak perlahan dan kenderaan beratur panjang untuk membayar tol sejak tengah hari tadi, manakala beberapa jalan utama terutama di kawasan kampung di sekitar Kuala Terengganu mula sesak dengan kenderaan.

Pengurus Perniagaan LPT2 Sdn Bhd Roszi Ibrahim berkata, kesesakan berkenaan hanya berlaku selama beberapa jam iaitu sejak 12 tengah hari hingga 3 petang.

“Selepas itu, aliran trafik di susur keluar Ajil dan Gemuruh untuk ke Kuala Terengganu yang juga menjadi antara laluan alternatif pengguna yang mahu pulang ke Kota Bharu kembali lancar.

“Kita menjangkakan kesesakan sama akan berlaku sekitar jam 10 malam nanti berdasarkan pergerakan kenderaan di Lebuhraya Karak dan LPT.

“Bagaimanapun, kita sentiasa mengemas kini pemberitahuan kepada pengguna menerusi skrin LED di lebuh raya dan turut mencadangkan laluan susur keluar alternatif yang boleh diambil bagi mengelak kesesakan trafik terutama di susur keluar Ajil dan Gemuruh,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Roszi berkata, jumlah kenderaan yang menggunakan LPT2 sehingga 7 malam ini meningkat kepada 47,000 kenderaan berbanding 39,000 semalam.

Menurutnya, jumlah itu meningkat berbanding sekitar 13,000 hingga 14,000 kenderaan menggunakan LPT2 pada hari biasa.

Beliau berkata, 11 pagi hingga 3 petang dan 10 malam hingga 12 tengah malam dijangkakan waktu puncak peningkatan kenderaan di LPT2, bagaimanapun aliran trafik di lebuh raya itu sangat lancar.

“Kesesakan hanya berlaku di susur keluar dan laluan LPT2 berjalan lancar walaupun menerima pertambahan kenderaan berkali ganda,” katanya.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén