Kisah Tokki, penyokong setia yang diberi tempat istimewa oleh Ultras Malaya

155

Bola sepak sememangnya sukan nombor satu di Malaysia. Para peminat sanggup turun walau ke mana sahaja pasukan kegemaran mereka beraksi.

Dalam aksi final pertama Piala AFF Suzuki baru-baru, hampir setiap genap Stadium Nasional Bukit Jalil dipenuhi penonton yang dianggarkan melebihi 88,000 orang.

Malah, ada yang terpaksa berdiri berikutan keadaan yang terlalu padat. Masing-masing bersorak dan memberikan semangat kepada skuad Harimau Malaya yang ketika itu sedang beraksi menentang pasukan Vietnam.

 

Jauh dari keghairahan penonton yang lain, kelihatan seorang lelaki warga emas sedang duduk seorang diri menyaksikan perlawanan tersebut dan kelihatan sangat asyik dalam dunia beliau yang tersendiri.

Menurut sumber, lelaki itu dikenali sebagai Tokki, merupakan peminat tegar pasukan Terengganu sejak tahun 80-an lagi.

Tokki akan datang ke stadium hanya semata-mata mahu menikmati perlawanan bola sepak dengan matanya hanya tajam menghadap padang.

Malam itu, dia diberi keistimewaan untuk berada di dalam kalangan Ultras Malaya, yang menyanjungi semangat tinggi yang dimiliki Tokki dalam memberi sokongan tidak berbelah bahagi, sama ada kepada Terengganu mahupun skuad kebangsaan, Malaysia.

Namun, disebabkan faktor usia dan kesihatannya, Tokki diberikan keutamaan untuk duduk di kerusi dan hanya perlu menyaksikan sahaja skuad kebangsaan berjuang di atas padang. Tidak perlu turut serta untuk bersorak menghangatkan suasana.

Apa yang pasti, Tokki adalah insan istimewa dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan, sehinggakan Ultras Malaya yang ditubuhkan pada 2007 pun memberikan penghormatan tinggi kepada Tokki untuk berada bersama-sama dengan mereka.

Jadi, lepas ini jika anda melihat Tokki di stadium, khususnya peminat bola sepak Terengganu, tegurlah. Mungkin info bola sepak yang dimilikinya berdasarkan pengalaman sejak tahun 80-an lebih banyak daripada apa yang anda mampu cari di internet hari ini.

Sumber: Blog JomCopy

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here