Tok Pa buat solat istikharah selama sebulan sebelum sertai PPBM

0
68

KOTA BHARU: Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed, memaklumkan keputusan untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bukan dilakukan secara tergesa-gesa, sebaliknya diputuskan hasil perbincangan dan mengadakan solat hajat serta istikharah selama sebulan.

Beliau berkata, banyak pandangan diambil serta perbincangan dengan individu tertentu sebelum membuat keputusan besar untuk melakukan penghijrahan.

Malah, beliau bersyukur kerana mengambil tindakan yang amat tepat dengan menyertai BERSATU.

“Saya dengar ada rakan dalam dewan yang perli, beri teguran serta pandangan, saya seorang yang terbuka serta menerima sebarang teguran, cuma biarlah teguran itu dilakukan secara tertib.

“Dalam politik ia menuntut keberanian dan saya akui bukan senang mahu berpisah selepas begitu lama bersama (UMNO). Saya cukup faham jika ada pihak tertentu yang marah kepada saya, namun saya memaafkan mereka.

“Apa yang penting niat untuk perjuangkan rakyat Kelantan yang kita wakili. Dalam politik, kita harus menerima dan tidak boleh melenting kerana sebarang teguran itu mampu memberi peringatan kepada kita supaya tidak tersasar,” katanya ketika sidang media di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Pada masa sama, Mustapa yang juga ADUN Air Lanas, berkata keputusan itu juga diambil bagi memastikan hak rakyat di Jeli khususnya dapat diperjuangkan.

“Saya merasakan dalam keadaan semasa di mana rakyat memberi mandat kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, saya kira adalah penting kita bagi sokongan bagi memastikan negara berada di landasan yang kukuh.

“Saya juga akan membantu Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr Radzi Jidin sebaik mungkin memandangkan beliau satu-satunya Timbalan Menteri dari Kelantan.

“Ucapan Perdana Menteri, Dr Mahathir, baru-baru ini yang mahu merapatkan jurang antara negeri dilihat satu permulaan baik. Saya akan berusaha sebaik mungkin dan mengumpul maklumat menerusi DUN untuk disampaikan kepada rakan di Kuala Lumpur apa kehendak rakyat Kelantan,” katanya.

Ketika ditanya sama ada lebih ramai lagi pemimpin UMNO di Kelantan yang akan mengikuti jejak langkah beliau, Mustapa berkata beliau tidak mengetahui perkara itu dan akan menunjuk contoh yang baik kepada semua.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here