Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Utama

‘Lepas ni datang la lagi jenguk tok kat sini…’ – Usia genap 100 tahun, Tok Mun sunyi tinggal seorang

BUKIT PAYONG – Tahun ini genaplah usianya satu abad dan bagi Maimun Yusof atau lebih dikenali Tok Mun, ia merupakan sambutan hari lahir paling meninggalkan kesan dalam kehidupannya.

Menyambut hari kelahiran bersama orang tersayang pastinya merupakan impian semua. Namun bagi Tok Mun, hidupnya semakin sunyi setelah anak lelaki tunggalnya meninggal dunia.

“Anak tok dah meninggal (dunia) tapi cucu tok ada lagi. Tok bimbang tak ada orang yang nak uruskan rumah tok bila tok dah tak ada nanti. Tak tahu nak beri kat siapa sebab cucu tok tak mari melawat,” katanya, hari ini.

Tok Mun tidak memaklumkan bila anak lelaki tunggalnya itu meninggal dunia dan secara tiba-tiba air matanya mengalir apabila melihat seorang kanak-kanak melintasi di hadapan rumah ketika ditemubual.

Tok Mun kini tinggal sebatang kara walaupun dianugerahkan ALLAH dengan umur yang panjang.

Tok Mun yang dilahir pada 24 Jun 1919 itu kini tinggal sebatang kara walaupun dianugerahkan ALLAH dengan umur panjang dan kesihatan memuaskan pada usianya sudah mencecah 100 tahun.

Siapa sangka, pada usia 100 tahun ia tidak menghalang warga emas itu terus melakukan pelbagai aktiviti harian dan menguruskan kehidupannya di rumah agak usang di Kampung Sungai Atas Tol, di sini.

Berbeza dengan warga emas seusia yang kebanyakannya sudah uzur, Tok Mun masih mampu menguruskan diri dengan baik, berjalan jauh dan kadang kala berbasikal untuk ke Kuala Terengganu.

“Tok dah biasa pergi mana mana sendiri, kereta (Kancil) tok ada tapi tok tak pandai bawa. Tapi kalau tok nak naik kereta tok upah orang untuk bawa tok pergi ke mana mana, biasanya ke bandar,” katanya.

Ditanya rahsianya kekal sihat walaupun sudah mencecah usia satu abad, Tok Mun berkata, dia sentiasa melakukan pelbagai rutin di rumah dan tidak pernah tinggal membaca al-Quran setiap hari.

“Tak ada rahsia, cuma tok buat kerja sokmo (selalu) sapu, kemas rumah dan mengaji. Cuma sekarang telinga tok tak berapa nak dengar, nak cakap dengan tok kena cakap kuat kuat baru dengar,” katanya.

Sebelum ini, nama Tok Mun pernah menjadi sebutan ramai berikutan menjadi calon wakil rakyat tertua di negara ini. Dia terlibat dalam dua pilihan raya umum iaitu PRU12 pada 2008 dan PRU13 pada 2013.

Ketika ditanya persediaan menyambut Ramadan pula, Tok Mun berkata, tiada persiapan dibuat kerana dia sudah biasa berpuasa pada hari biasa dan merupakan salah satu cara baginya untuk kekal sihat.

“Cuma tok harap lepas ni datanglah lagi rumah tok ni. Tiada siapa yang datang tengok tok. Datanglah hari hari pun tak apa, tok ada sini. Datanglah bila bila pun,” katanya kepada Sinar Harian.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén