TM umum harga baharu Unifi 30Mbps hanya RM79 sebulan

0
239

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) melancarkan pakej unifi mampu milik, unifi Basic pada harga RM79 dengan kelajuan 30Mbps dan kuota data sehingga 60GB setiap bulan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Bazlan Osman, berkata pakej itu boleh mula dilanggan pada 15 Julai ini yang mana ia adalah pakej mampu milik kepada isi rumah dengan pendapatan RM4,500 dan ke bawah.

Beliau berkata, langkah memperkenalkan pakej seumpama itu adalah selari dengan aspirasi kerajaan untuk mengurangkan harga perkhidmatan jalur lebar pada akhir tahun ini.

“Pelan yang kita tawarkan ini adalah 50 peratus lebih rendah dari pelan unifi Home 30Mbps sedia ada, sekali gus memberi peluang semua orang untuk menikmati perkhidmatan jalur lebar yang lebih murah dan pantas.

“Unifi Basic juga boleh dilanggan secara eksklusif menerusi platform atas talian yang akan ditawarkan bermula pada 15 Ogos ini,” katanya pada taklimat media mengenai pakej terbaru itu di sini, hari ini.

Pengumuman itu juga membawa perkhidmatan jalur lebar negara ke tahap lebih tinggi dengan pengenalan penaiktarafan pelan untuk pelanggan unifi Home sedia ada sehingga 800Mbps.

Selain itu, ia turut memperkenalkan naiktaraf pelan untuk pelanggan Streamyx kepada unifi di kawasan liputan unifi atau peningkatan kelajuan dua kali ganda di kawasan yang tiada liputan perkhidmatan berkenaan.

Pada majlis itu, TM juga mengumumkan pelan unifi turbo, terdiri daripada Lite Plan, Advance Plan dan Pro Plan masing-masing ditawarkan pada harga RM129 (10Mbps) , RM139 (30Mbps) dan RM329 (100Mbps) bermula 15 Ogos ini.

Dalam taklimat itu turut menyaksikan pengenalan semula pelan pascabayar yang dikenali sebagai unifi Mobile juga pada 15 Julai ini.

Bulan lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, mengumumkan harga perkhidmatan jalur lebar di Malaysia dijangka turun sekurang-kurangnya 25 peratus menjelang hujung tahun ini.

Penurunan harga itu berikutan pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Penetapan Harga Akses (MSAP) pada 8 Jun lalu dan berkuatkuasa 1 Januari 2018, yang mengenakan harga siling borong bagi pembekal kemudahan dan perkhidmatan digunakan syarikat telekomunikasi di pasaran.

Penurunan harga borong itu kelak akan turut mengurangkan harga pasaran jalur lebar bagi pengguna.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here