‘Cantik sangat, belum pernah saya jumpa air sejernih ini…’ – Jurugambar kongsi tips bercuti ke Pulau Redang

Sebut sahaja Pulau Redang, pastinya ramai yang terpukau dengan keindahan pulau itu yang terletak di Terengganu itu.

Baru-baru ini, seorang jurugambar Arif Azhar telah berkongsi pengalamannya bercuti selama 4 hari 3 malam di pulau peranginan tersebut.

Menurut Arif, keindahan Pulau Redang sukar ditandingi mana-mana pulau di Semenanjung Malaysia kerana kejernihan air lautnya serta pasir pantainya yang memutih.

Berikut beberapa tips yang beliau kongsikan untuk sesiapa yang ingin melancong ke Pulau Redang.

Wajib datang ke Pulau Redang!

1. Perjalanan

Pengangkutan udara menjadi pilihan Arif untuk ke Terengganu kerana ia menjimatkan masa berbanding menggunakan laluan darat yang memakan masa antara 4 sehingga 5 jam. Penerbangan pergi balik dari Kuala Lumpur ke Terengganu ini berharga RM160.

Selain itu, perjalanan dari jeti Merang, Setiu ke Pulau Redang memerlukan 45 minit. Berikutan itu, dia memilih menaiki pesawat supaya dapat menyimpan tenaga untuk berseronok di Pulau Redang.

2. Penginapan

Selain pengangkutan, pemilihan penginapan juga penting untuk menjamin keselesaan pelancong. Dalam percutian ini, Arif dan 7 orang rakannya telah menginap di ‘Redang Mutiara Beach Resort’.

Resort tersebut juga merupakan pantai persendirian (private beach). Pemandangan dan suasana di situ aman dan tenang, dan ia sesuai untuk pelancong yang ingin bersantai di tepi pantai.

Namun kepada pelancong yang inginkan kemeriahan seperti karaoke, anda boleh menginap di kawasan Laguna Redang Island Resort atau Redang Pelangi Resort kerana tempat tersebut adalah kawasan tumpuan orang ramai.

3. Aktiviti

Antara aktiviti yang boleh dilakukan oleh pelancong ialah menyelam, snorkeling dan jungle trekking. Melalui perkongsian Arif, mereka menjumpai belut laut dan pelbagai jenis ikan ketika melakukan aktiviti snorkeling, namun tidak berhasil menemui penyu.

Sekiranya pelancong ingin melihat ikan dengan lebih dekat, maka anda boleh menyediakan roti bagi mengumpan mereka datang dekat. Selain snorkeling, aktiviti menyelam juga popular di Pulau Redang.

Aktiviti jungle trekking juga menarik dan memerlukan 45 minit, jadi pelancong dinasihatkan datang awal untuk menikmati pemandangan matahari terbit.

4. Makanan

Makanan yang dihidangkan adalah dalam gaya bufet, pelancong bolehlah membawa makanan sendiri seperti kacang, buah-buahan dan Maggi sekiranya makanan yang disediakan tidak menetapi cita rasa.

Walau bagaimanapun, anda boleh berkunjung ke beberapa restoran yang terletak di Long Beach, namun pelancong perlu menaiki bot teksi yang berharga RM35.

5. Bajet


Perbelanjaan yang digunakan adalah sebanyak RM500 seorang selama 4 hari 3 malam, tidak termasuk tiket penerbangan. Sekiranya rajin membuat survey, pelancong boleh mendapatkan harga yang lebih murah dan berpatutan.

Menurut Arif, dia memberikan lima bintang untuk percutiannya kali ini, kerana kebersihan dan keindahan Pulau Redang yang tiada bandingannya.

Selain itu, pulau tersebut beroperasi untuk tujuan percutian hanya selama 8 bulan dalam setahun iaitu dari bulan Mac sehingga bulan Oktober sahaja.

Sumber: Arif Azhar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *