Tikus mati tidak dibuang di kawasan pemprosesan, kilang rempah terkenal diarah tutup

KUALA LUMPUR – Sebuah kilang memproses rempah di Taman Bamboo, di sini, dikesan beroperasi dalam keadaan kotor dan menjijikkan. Dalam serbuan dilaksanakan Unit Kawalan Makanan, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Jumaat mendapati terdapat bangkai tikus, urungan lipas serta najis di sekitar ruang pemprosesan makanan dan stor penyimpanan produk di kilang terbabit. Unit Media DBKL menerusi satu kenyataan memaklumkan hasil pemeriksaan dilakukan enam pegawai kesihatan mendapati tahap kebersihan premis tidak memuaskan. Menurutnya, lantai, dinding, peralatan dan kelengkapan pemprosesan produk didapati dalam keadaan kotor, berdebu dan usang. “Bahan mentah makanan pula didapati diletakkan kurang 0.45 sentimeter dari aras lantai dan terdapat lipas serta najis di gudang stor menempatkan produk yang sudah siap. “Susunan stor juga didapati tidak dikemas dengan baik dan tidak mengamalkan amalan FIFO (first in first out),” katanya. Menurutnya lagi, seramai 25 pengendali makanan termasuk 11 warga asing didapati mempunyai suntikan tifoid dan hadir kursus pengendali makanan.

“Premis dikenakan tindakan penutupan di bawah UUK 28(1) UUK Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016 berkuat kuasa Sabtu. “Kompaun turut dikeluarkan di bawah UUKPPM (WPKL) 2016 UUK 25 (1)(c ) – JKAS 095859,” katanya. Dalam pada itu, DBKL memaklumkan pemeriksaan dan pemantauan terhadap premis pengendali atau pemprosesan makanan akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Loading...

Leave a Reply