Tiket final Piala AFF dijual semula dengan harga RM500

0
127

KUALA LUMPUR: Sebaik tiket final pertama Piala AFF 2018 antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini habis dijual, ulat-ulat tiket dilihat dikesan mula aktif menjual semula tiket berkenaan di atas talian.

Menyedari kekecewaan dialami ribuan penyokong ekoran kegagalan mendapatkan tiket itu, ada ulat tiket sanggup ‘menangguk di air keruh’ dengan menjual secara haram di atas talian dengan harga tidak masuk akal.

Menerusi tinjauan dilakukan, ia dijual pada harga cukup tinggi sehingga RM500 sekeping, jauh daripada harga asal iaitu RM40 untuk tempat duduk terbuka.

Malah, ada juga meletakkan harga sekitar RM200, RM150 dan RM80 di laman sosial.

Tinjauan di perkarangan stadium juga menyaksikan ada antara penyokong berjaya mendapat tiket dan kemudian menjualnya semula pada harga RM100.

Walaupun harga dijual oleh ulat tiket naik berganda, peminat tetap membelinya.

Kurangnya tahap kawalan dan penguatkuasaan lemah sama ada daripada pihak berkuasa mahupun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kegiatan tidak sihat itu semakin menjadi-jadi dengan ulat tiket dilihat ‘bermaharajalela’ di perkarangan stadium.

Terdahulu, semua baki 40,000 tiket berjaya dijual dalam tempoh 30 minit selepas dua kaunter dibuka di Pintu A dan E Stadium Nasional Bukit Jalil pada jam 10 pagi tadi.

Sebelum ini, 40,000 tiket sudah habis dijual secara dalam talian Jumaat lalu untuk jumlah keseluruhan 80,000 tiket.

Selain dijual di kaunter stadium, ia turut dijual di Arenal Futsal FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya (hanya bagi yang memiliki keratan tiket separuh akhir kedua di Bangkok) dan 1,000 keping di Al-Ikhsan Sports Cawangan IOI City Mall, Putrajaya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here