Portal berita terbaik anda

Utama

Tiga pekerja resort dikhuatiri hilang di perairan Pulau Tenggol

DUNGUN – Tiga pekerja sebuah resort di Pulau Tenggol dekat sini dikhuatiri hilang selepas bot yang mereka naiki gagal tiba di pulau peranginan terbabit semalam.

Sebelum kejadian, ketiga-tiga mangsa iaitu Fauzi Mohamad, 40, Muhammad Firdaus Mohd. Awalluddin, 25, dan Mohamad Hafiz Abd. Rahim, 22, telah bertolak dari Jeti Kuala Dungun di sini pada pukul 12.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mereka dijadual tiba ke Pulau Tenggol untuk mengambil pelancong pada kira-kira sejam kemudian.

“Bagaimanapun, bot yang dinaiki ketiga-tiga mereka gagal tiba mengikut masa ditetapkan selain kesemua nombor telefon pintar mereka gagal dihubungi.

“Pengurusan resort yang merupakan majikan mereka kemudiannya telah memaklumkan berhubung kehilangan tersebut kepada pihak polis pada pukul 4 petang semalam,” katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.

Baharudin berkata, pasukan mencari dan menyelamat telah ditubuhkan melibatkan pelbagai agensi termasuk polis, bomba, Maritim Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. – K! ONLINE

Loading...

Leave a Reply