Portal berita terbaik anda

Utama

Tiga beranak hampir kebuluran tiada wang belanja

GUA MUSANG – “Beras habis dan mak cik tiga beranak hanya bergantung kepada biskut kering cicah teh-o untuk alas perut,” keluhan Hasnah Che Mat, 58, di Kampung Perasu, dekat sini.

Beliau berkata, keadaan itu dihadapi selepas tiga hari pelaksanaan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penularan coronavirus (Covid-19) bermula 18 Mac lalu.

Katanya, perbelanjaan hariannya bergantung kepada upah menoreh getah tetapi tidak boleh berbuat demikian kerana arahan supaya berada dalam rumah.

“Lebih menyedihkan, bapa sedang sakit tua terlantar rumah hanya mampu disediakan teh-o dan biskut kering sahaja untuk dia makan tiga kali sehari.

“Kami hanya menumpang tinggal di rumah usang milik tuan kebun getah itu tanpa ada kemudahan air dan elektrik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Perasu, hari ini.

Hasnah berkata, dia mengambil upah menoreh getah bersama suaminya, Ahmad Azmi Jusoh, 58, manakala bapanya, Che Mat Bakar, ditinggal seorang diri di rumah.

Katanya, sejak pelaksanaan arahan PKP itu dia tidak mengambil upah menoreh hingga wang yang disimpan hasil menoreh getah kehabisan.

“Mak cik hanya dapat upah menoreh getah sekitar RM500 sebulan, itu pun getah yang dijual sebulan sebelum dilarang menoreh untuk belanja makan,” katanya.

Katanya, selain belanja makan, wang itu juga dibelanja untuk membeli lampin pakai buang untuk bapanya yang sakit tua dan tidak boleh bergerak.

“Mak cik juga risau dengan harga getah sekerap yang menurun sehingga RM1.60 sekilogram sekarang sudah tentu turut menjejaskan pendapatan,” katanya.

“Bagaimanapun, kami bersyukur sudah mendapat bantuan makanan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab Aziz Yusof,”katanya.

Ab Aziz ketika dihubungi mengesahkan sudah mengambil perhatian terhadap tiga beranak yang kehabisan makanan kerana arahan PKP.

Loading...

Leave a Reply