Tiga beradik datang bercuti ke Dungun hilang ditarik ombak

127

PERCUTIAN empat keluarga ke Dungun bertukar tragedi selepas tiga beradik dikhuatiri lemas selepas ditarik ombak ketika bermain di tepi Pantai Sura Tengah, hari ini.

Dalam kejadian 6.40 petang itu, tiga beradik terbabit adalah Nur Ain Fatma Zawawi, 10, Nur Ain Sofea Zawawi, 9, dan Nur Ain Sasabila, 6, dari Kampung Pegal Pisang, Peringat, Kota Bharu, Kelantan.

Sebelum kejadian, tiga beradik terbabit dikatakan bermain di tepi pantai bersama dua sepupunya dengan ditemani seorang ibu saudaranya.

Secara tiba-tiba ombak besar dikatakan memukul mereka sebelum menarik mangsa ke tengah laut.

Ibu saudara mangsa gagal membantu berikutan ombak besar dan memaklumkan kepada ahli keluarga yang lain.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan mengikuti ibu saudara mereka serta ahli keluarga lain bercuti dan menyewa sebuah inap desa berhampiran pantai berkenaan manakala ibu bapa kepada tiga beradik itu tidak turut serta.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun, Saifuddin Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.14 malam sebelum 10 anggota dengan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, anggota polis dengan bantuan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Sehingga 9 malam ini usaha mencari dan menyelamat mangsa masih belum berhasil,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here