Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Politik

Tidak wajar salahkan PH atas masalah dihadapi rakyat – Maszlee

PONTIAN – Tidak wajar kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tidak sampai dua tahun dibentuk dipersalahkan atas masalah dihadapi rakyat pada ketika kerajaan sedang berusaha memulihkan masalah negara.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kerajaan PH yang tidak sampai dua tahun perlu memperbaiki kelemahan yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

“Rakyat perlu bersabar, kalau tak puas hati (dengan prestasi PH) yang kurang dua tahun ini, bayangkan nak pulihkan peninggalan BN yang 60 tahun…kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa. Tidak adil nak hukum PH,” katanya kepada pemberita selepas majlis minum petang bersama masyarakat Tionghua di Kukup di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab tentang khabar angin bahawa pengundi di kawasan Parlimen Tanjung Piai enggan memberi sokongan kepada PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu kerana tidak berpuas hati dengan kerajaan.

“Namun saya yakin pengundi di Tanjung Piai boleh fikir matang buat keputusan memilih pemimpin. Kita (PH) ‘bersih’ (telus) dan beri komitmen jadikan Malaysia sebagai Asian Tiger,” katanya.

Maszlee yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menegaskan pemimpin daripada PH termasuk calon bagi PRK itu, Karmaine Sardini amat berdedikasi untuk berkhidmat kepada rakyat.

PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan 16 November ini, susulan kematian Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, dari PH pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.

Karmaine yang merupakan Ketua Bahagian PPBM Tanjung Piai berdepan saingan lima penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN) daripada MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Wendy Subramaniam dan Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén