Portal berita terbaik anda

Utama

‘Tak boleh layan Lynas macam paria nanti tiada pelabur masuk’

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan bahawa kilang nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) tidak boleh digesa untuk hentikan operasi serta keluar dari Malaysia.

Tegasnya, tindakan itu hanya akan memburukkan keadaan selain menjejaskan kemasukan pelaburan asing langsung ke Malaysia.

“Kita jemput mereka (Lynas) melabur di Malaysia, tapi kemudian kita sedar mereka keluarkan sisa yang banyak. Itu masalahnya.

“Kita hantar pakar untuk menentukan sama ada ia berbahaya dan pakar sahkan ia tidak berbahaya. Mereka yang menentang Lynas, tetap mahu menghentikannnya.

“Ini pelaburan yang besar, RM1.7 bilion, 700 peluang pekerjaan berkualiti dan berpendapatan tinggi. Ia penting kepada pelaburan kita. Jika kita layan Lynas seperti ‘paria’, dan suruh mereka meninggalkan negara ini, kita tidak akan dapat lagi orang melabur ke negara ini,” katanya ketika ditemui media selepas melancarkan Persidangan Pelancongan Sedunia 2019 di sini hari ini.

Dr Mahathir menegaskan, keputusan kerajaan untuk menyambung lesen operasi Lynas tidak mempunyai sebarang kaitan dengan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Jepun.

“Ia tiada kaitan dengan Jepun atau hubungan rapat saya dengan Jepun,” katanya mengulas laporan yang memetik Lynas memeterai pembaharuan pinjaman mudah bagi tempoh 10 tahun bersama Jepun, sekali gus memacu komitmen syarikat dari Australia itu dalam membekalkan hasil nadir bumi kepada Negara Matahari Terbit.

Loading...

Leave a Reply