PUTRAJAYA – Harga makanan yang dijual oleh pengusaha trak makanan atau food truck yang dikatakan terlalu mahal tidak boleh dielakkan kerana pengusaha terpaksa menaikkan kos demi menjaga kualiti makanan.
Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata, tidak menjadi masalah sekiranya harga food truck sedikit mahal asalkan makanan dijual itu bersih dan berkualiti.
“Kenaikan harga makanan food truck itu tidak boleh dielakkan kerana peniaga terpaksa naikkan kos demi menjamin kualiti.
“Namun tidak boleh samakan dengan harga di gerai tepi jalan kerana terdapat di dalam kalangan mereka tidak jaga kebersihan walaupun bukan semuanya berbuat demikian,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Rumah Terbuka #TerlajakRaya anjuran Restoran D’Tandoor di sini semalam.
Beliau mengulas mengenai kenaikan harga makanan dan minuman oleh segelintir food truck di Kuala Lumpur yang dilihat membebankan orang ramai.
Bagaimanapun, Khalid memaklumkan, pihaknya akan cuba mengawal harga di bawah penyeliaan Kementerian Wilayah.
“Sekiranya pengusaha food truck ini mengikuti program di bawah kementerian, pihak kami memang ada membuat pemantauan harga supaya ia tidak membebankan pembeli.
“Selagi pihak kami boleh kawal, kita cuba untuk kawal,” katanya.
Sementara itu, Khalid berkata, orang Melayu perlu mengubah pemikiran supaya tidak terlalu bergantung pada kerajaan.
Katanya, mereka dikehendaki menceburi perniagaan seperti bidang makanan dan minuman untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka.
“Bila kita membuat kaji selidik di sekolah, kebanyakan pelajar ini apabila besar nanti hendak kerja di bawah kerajaan.
“Era kebergantungan kepada kerajaan itu sudah berlalu dan orang Melayu perlu mencari inisiatif lain untuk memajukan diri termasuklah melibatkan diri dalam bidang perniagaan,” katanya. – UTUSAN
Leave a Reply