Portal berita terbaik anda

Utama

Tidak adil subsidi gaji kepada industri beroperasi ketika PKP

PEMBERIAN subsidi gaji dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) Tambahan kepada industri yang boleh beroperasi ketika PKP disifatkan sebagai tidak tepat.

Hal demikian kerana, sektor berkenaan tidak terjejas, malah dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Berbanding pelancongan dan perkhidmatan makanan, perkhidmatan itu dilihat terjejas teruk malah terpaksa tutup sepanjang PKP akibat pandemik Koronavirus (Covid-19).

Perkaran berkenaan ditegaskan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyifatkan pemberian subsidi kepada industri perusahaan sebagai tidak adil.

Katanya, pemberian subsidi secara menyeluruh itu kurang berkesan kerana impak sebenar ekonomi adalah berbeza mengikut industri.

“Cadangan daripada Armada adalah agar pemberian subsidi gaji dikaji dan diberi mengikut impak ekonomi kepada industri terbabit ataupun berlandaskan pendapatan bulanan syarikat tersebut.

“Sebagai contoh, industri pelancongan dan servis makanan adalah industri yang paling terkesan di mana sesetengah syarikat atau perniagaan ini tidak dapat beroperasi langsung sepanjang PKP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalm berhubung pemberian subsidi bagi memastikan syarikat mampu terus beroperasi.

Sebanyak RM600, RM800 dan RM1,200 disediakan sebagai subsidi bagi setiap pekerja mengikut saiz jumlah kakitangan dalam sesebuah syarikat.

Walau bagaimanapun, tambah Syed Saddiq, beliau menyambut baik pengumuman tersebut kerana mendengar pandangan rakyat terutama dari sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Katanya, sememangnya suntikan sebanyak RM7.9 bilion itu boleh membantu meringankan beban pemilik syarikat terutama PKS yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Armada berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana mengambil kira pandangan kami mengenai kos subsidi gaji dalam pakej rangsangan pertama yang tidak memadai untuk kebanyakan industri bertahan sepanjang tempoh PKP.

“Kita perlu memastikan bahawa industri kita bersama-sama dengan pekerja mereka dapat
kembali menyumbang kepada negara kita,” ujarnya. – SM

Loading...

Leave a Reply